Selasa, 20 Oktober 2009

DATUK SALLEH DAN TUGAS KETUA UMNO BAHAGIAN KOTA BELUD.


Walaupun keputusan Datuk Salleh tun said untuk kembali memimpin UMNo Bahagian kota Belud dipertikaikan oleh sebilangan ahli Umno di daerah ini yang dikatakan oleh mereka sebagai menimbulkan perpecahan yang amat parah, namun bagi yang mempunyai "future political thanking", keputusan itu sesuatu yang tepat dan membawa perubahan dalam Umno Bahagian Kota Belud. Sebagai mantan Ketua Menteri dan juga mantan Ketua Perhubungan Umno negeri, Datuk salleh tentunya punya kepimpinan yang diktiraf dan diperlukan oleh rakyat di Kota Belud.

Saya masih ingat lagi, suatu ketika apabila datuk Salleh disambut oleh penduduk Lahad Datu dengan cukup meriah ketika beliau Ketua Menteri. Rakyat menunjukkan kesetiaan dan penerimaan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk salleh. Hinggakan, hampir-hampir dasar penggiliran Ketua Menteri pada waktu itu dibatalkan. tetapi atas beberapa faktor politik, akhirnya dasar itu diteruskan.

Kini apabila, hampir setahun datuk salleh memimpin Umno KB, nyata pemikiran dan gagasan beliau amat dikagumi. Beliau begitu menyokong atas prinsip perubahan yang cuba diketengahkan oleh datuk Najib. Malahan dalam beberapa ucapannya kepada perwakilan Umno Kb turut menggesa ahli bahagian berubah dari segi minda dan pendekatan mereka. Beliau kerap menyatakan bahawa, Umno KB perlu sentiasa peka kepada kehendak akar umbi. Biarpun beliau hanya seorang ketua bahagian dan tidak mempunyai apa-apa jawatn tetapi beliau turut mendekati rakyat di daerah ini.

Apa yang seharusnya wujud ialah ahli-ahli Umno Kb memberikan sokonganyang tidak berbelah bahagi kepada Datuk salleh selaku ketua Bahagian Umno. Dengan sokongan itu Umno Bahagian akan dapat merangka aktiviti yang lebih bersistematik dalam usaha mendekati masyarakat akar umbi. Antara aktiviti yang boleh dirancang ialah dengan mengadakan beberapa siri kursus dalaman buat ahli dan jawatankuasa Bahagian untuk menaikkan semangat perjuangan mereka seperti yang pernah dilakukan oleh Umno pusat di Janda Baik sehingga disebut-sebut dalam perhimpunan yang lepas.

Selain itu, mungkin Umno KB juga harus mewujudkan satu group pemikir untuk mencari kaedah dan strategi menambahkan ahli Umno dan juga usaha menghadapi parti pembangkang. Banyak isu-isu yang perlu dijelaskan kepada golongan muda di daerah ini supaya mereka tidak terus berada jauh dari parti Umno. Kehadiran mereka harus dihargai dan diberikan tempat serta dilibatkan dalam aktiviti-aktiviti parti supaya lahir kesedaran dan minat mereka menceburkan diri dalam parti Umno. Kehadiran mereka ini tidak harus dilihat sebagai ancaman kepada para pemimpin sedia ada.

Apakah Datuk salleh dapat mengubah mentaliti ahli Umno KB..?

Jumaat, 16 Oktober 2009

KRISIS TERBARU PKR


Datuk Zaid Ibrahim hari ini membuat pengumuman mengejut untuk bercuti selama enam bulan daripada PKR di tengah-tengah ura-ura beliau menghadapi masalah dengan seorang pemimpin kanan parti."Ini bermakna saya tidak akan menghadiri mesyuarat biro politik parti," kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan hari ini.

Surat itu, yang berkuatkuasa serta-merta, diserahkan kepada Setiausaha Agung PKR Datuk Salehuddin Hashim.

Pengumuman cuti Zaid ini dibuat sewaktu muncul khabar bahawa beliau berkemungkinan meninggalkan PKR.Zaid, yang baru mengumumkan penyertaannya bersama parti pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim itu pada Jun lalu, dipercayai berdepan masalah besar menjalankan tugasnya untuk menyatukan pembangkang susulan pergeserannya dengan Naib Presiden PKR Azmin Ali.

Beliau, yang juga ahli parlimen Gombak, dilaporkan tidak senang dengan peranan Zaid yang akan dihantar ke Sabah esok - berselinding di sebalik perjumpaan sambutan Aidifitri - untuk menyelesaikan penolakan ketua-ketua bahagian terhadapnya, yang dilantik sebagai pengerusi Majlis Pimpinan Negeri.


Dalam satu mesyuarat biro politik PKR Selasa lalu, Azmin didakwa melepaskan kemarahannya terhadap bantahan ketua-ketua bahagian di Sabah sehingga Anwar sendiri sukar menenangkannya.

Dalam kenyataannya hari ini, Zaid bagaimanapun menafikan pembabitannya dengan isu kepemimpinan parti itu di Sabah dan Sarawak seperti dilaporkan Malaysiakini sebelumnya.

"Saya diundang menghadiri perhimpunan dan majlis Hari Raya anjuran pemimpin PKR untuk bertemu dengan ahli-ahli, yang saya sudah menerima pelawaan itu.

"Begitu juga saya turut diundang bertemu beberapa pemimpin Sarawak di Kuching. Saya tidak nampak sebarang niat buruk dalam undangan-undangan ini," katanya.

"Saya tidak apa-apa kepentingan dalam politik dalaman PKR atau parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat. Saya juga tidak berminat mengambil peranan kepemimpinan dalam PKR.

"Saya telah jelaskan perkara ini sejelas-jelasnya kepada Anwar sewaktu saya menyertai parti ini."

Selepas Azmin tidak senang dengan kehadiran Zaid di majlis berkenaan, Anwar pula menghalang bekas senator itu menghadirinya.
Tindakannya bercuti membolehkan beliau keluar daripada arahan pemimpin besar PKR itu.

Selasa, 13 Oktober 2009

SALAHKAH DATUK MUSBAH RAPAT DENGAN MUSA AMAN ?



Semasa pulang dari KK semalam, saya bersembang dengan seorang rakan lama yang begitu aktif dalam politik KB. Dia banyak 'bercelotah' dengan karenah para pemimpin yang pada tanggapannya sangat 'bercelaru' prinsip perjuangan mereka. Buat bingung katanya pada saya. Bila saya mengutarakan betapa perlunya mengangkat buah fikiran pemimpin, dia memandang agak lama. Mulalah dia mengeluarkan cerita kononnya, pemimpin politik di KB sekarang susah untuk disatukan fikiran mereka. Semuanya saling curiga-mencurigai, ada yang suka mengambil kesempatan, dan ada yang berdamping kepada pemimpin tertentu untuk mengambil peluang kalau-kalau pemimpin berkenaan mendapat 'durian runtuh'.

Antara pemimpin yang disebut-sebutnya ialah dua orang pemimpin suku Bajau, iaitu datuk Salleh dengan Datuk Musbah. Pada pandangannya, Datuk Salleh begitu curiga dengan datuk Musbah. Bila saya tanya kenapa..? Kerana Datuk Musbah 'rapat' dengan Musa Aman, Ketua Menteri Sabah. Bagi perkiraan Datuk salleh, Group 3 Abdul ( Salleh, Pandikar, Amir Kahar ) -biarpun ramai lagi yang tidak tersenari...-telah digugurkan kerana atas tipu muslihat Musa Aman yang ingin mematikan kerjaya politik mereka. Pengorbanan mereka kononnya tidak dihargai. Oleh kerana Datuk Musbah, dikatakan adalah antara orang yang rapat dengan Musa Aman, sehingga dicalonkan di Tempasuk. Kerana itu maka, Datuk Musbah dikatakan sebagai 'mata-mata'bagi Musa Aman...

Benarkah begitu..? Kenapa Datuk salleh dan gengnya tidak melihat kelemahan diri sendiri sebelum membuat spekulasi politik yang merugikan itu...? Mungkin mereka di gugurkan kerana mereka tidak membawa perubahan kepada rakyat dan masyarakat..Kalau kita katakan MUSA AMAN mempunyai motif jahat politik..kenapa KB dan Pulau Bangi ( kwsn Amir kahar) diberikan projek Agropolitan ? yang bertujuan membasmi kemiskinan tegar..Selama mereka-mereka ini memegang jawatan dalam kerajaan dan parti..apa yang telah dibawa oleh Datuk Salleh dan gengnya kepada kawasan mereka..?

Begitu banyak persoalan yang dilontarkan oleh kawan saya ini..? sampai saya sendiri susah untuk menangkisnya..

Salahkah Datuk Musbah rapat dengan Musa Aman..? Datuk Salleh pun dulu 'rapat' dengan Datuk seri Anwar sebelum dia dipecat dari UMNO..? Datuk Musbah tidak juga bising-bising.. katanya lagi..

Sekarang ni datuk salleh dan gengnya tekan Musa Aman dengan USBO..kononya..rumpun USBO ada kuasa politik di sabah..? kenapa sejak dulu USBO tidak diungkit..? Orang bajau (USBO ) masih juga begini..? penyatuan rumpun USBO, wal hal Datuk Salleh dengan Datuk Musbah sendiri tidak bersatu..!!! keliru betul kita di daerah KB ini..Bilangnya lagi..

Saya hanya khyusuk mendengar sahaja..ada juga benarnya apa yang dikatakan oleh 'lepasan siswazagh ini" ..bisik hati kecil saya.

Bila saya tanya tentang blog di KB..Kawan ini juga memaklumkan dia mengikuti perkembangan para blogger di daerah ini.. termasuk blog Datuk salleh yang disifatkannya sebagai "buku Teks" kerana tidak membenarkannya percambahan buah fikiran berlaku.



Diakhir perbualan kami, dia menegaskan bahawa dia bukan sokong mana-mana pemimpin , bukan juga anti kepada mana-mana,tetapi dia sangat risau dengan keadaan politik KB..dan saya faham kerana beliau ini sudah lama berada dalam bahagian UMNO KB, dan dia banyak tahu tentang gelagat pemimpin yang dia sebutkan itu..

Bersama-samalah kita fikirkan...kerana bila kita mencanangkan 'perpaduan' rakyat akan melihat kenyataan itu pada pembawaan dan pendirian kita.



Ahad, 11 Oktober 2009

UMNO DAN PERUBAHAN


Selepas kemenangan besar di Bagan Pinang, Umno nampaknya tidak perlu berubah kerana sudah di terima rakyat. Di pihak Pakatan Rakyat dan PAS pula, mereka perlu kembali ke bilik mesyuarat untuk mengenalpasti apa berlaku dalam pilihan raya kecil itu.

Ini kerana, harapan untuk menang atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti di kubu Umno ini gagal dilaksanakan.

Sehingga analisa ini ditulis, calon BN, Tan Sri Isa Samad telah mendahului calon PAS dengan lebih 5,000 undi. Ini belum termasuk undi pos lagi.

Sebelum keputusan diperolehi lagi, ada yang sudah menyalahkan sikap para pemimpin PAS dalam jentera kempen di Bagan Pinang. Antaranya mengenepikan rakan-rakan mereka dalam PKR dan DAP.

Namun, keputusan di Bagan Pinang ini sudah tentu ada kebaikannya.

Sebagaimana yang dikempenkan, dengan kemenangan ini, Umno sudah pasti akan kekal dengan apa yang ada padanya dan tidak akan berubah.

Ini kerana, keputusan ini bermakna, Umno diterima rakyat, pemimpin rasuah tidak menjadi masalah, kesalahan politik wang bukan bermakna rasuah dan sebagainya.

Untuk itu, rakyat seluruh negara perlu terima apa yang telah diputuskan oleh penduduk Bagan Pinang bahawa pemimpin rasuah tidak jadi masalah kerana yang diperlukan rakyat adalah perkhidmatan mereka.

"Kalau pemimpin ini memberikan khidmat yang baik, apa salahnya mereka rasuah," mungkin ini mesej yang hendak dihantarkan oleh pengundi Bagan Pinang.

Dengan kemenangan ini, para media BN esok akan melaporkan, PAS kalah teruk, kemaraan Pakatan Rakyat telah berjaya disekat setakat Selangor sahaja dan sebagainya.

Menjelang keputusan ini diperolehi, seorang rakan Cina dari Port Dickson memaklumkan, orang Cina tidak mahu undi PAS kali ini kerana marah dengan apa yang berlaku di Selangor.

Mereka tidak puashati dengan beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor. Sejauh manakah benarnya maklumat akan diketahui apabila analisa keputusan penuh pilihan raya ini diperolehi nanti.

Pendek kata, jentera PAS perlu mengkaji sepenuhnya senario yang berlaku di seluruh negara sematang-matangnya bagi menghadapi pilihan raya ke 13 nanti. _

Khamis, 8 Oktober 2009

UNDI POS DAN TENTERA DI BAGAN PINANG


PAS menyifatkan tindakan Umno BN mempengaruhi tentera secara paksa melalui disiplin ketenteraan sebagai mencabul hak demokrasi Angkatan Tentera Diraja Malaysia.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, selain tidak menghormati hak mereka, tindakan parti memerintah itu juga telah menghina nama baik 'Di Raja' itu sendiri.

"Saya lihat macam-macam berlaku pada pengundi pos, berilah tentera kebebasan sepeti yang diperuntukkan perlembagaan.

"Tindakan BN paksa tentera undi mereka adalah satu pencabulan hak tentera dan menghina institusi Diraja itu sendiri."

Namun lebih malang katanya apabila tentera dipaksa untuk mengundi Tan Sri Isa Samad, yang jelas terlibat dengan rasuah.

Tindakan itu ujarnya sekali lagi cubaan Umno BN memperbodohkan anggota tentera sedangkan mereka tahu untuk membuat pilihan baik dan buruk.

"Paling malang tentera di paksa undi calon rasuah," katanya.

Isu pengundian pos kembali menjadi tumpuan menjelang pilihan raya kecil Bagan Pinang yang dijadualkan 11 Oktober ini.

Beberapa pendedahan pengakuan oleh bekas tentera sendiri turut dibongkar menjelang PRK kali ini.

Rata rata berpendapat, Pakatan Rakyat mampu memenangi PRK kali ini jika sebahagian besar pengundi pos bersama calon mereka.

Berdasarkan daftar pemilih setakat 4 September lalu, daripada sejumlah 13,664 orang yang layak mengundi pada pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang, seramai 4,604 merupakan pengundi pos. _

Selasa, 6 Oktober 2009

JANJI PAKATAN DI BAGAN PINANG


Berbekalkan pengalaman bergiat dalam kerja-kerja kemasyarakatan, calon Pakatan Rakyat Zulkefly Mohamad Omar bertekad mahu meningkatkan kesejahteraan serta kualiti hidup penduduk tempatan seandainya diamanahkan menjadi Adun Bagan Pinang kelak.Bercakap pada pemberita di sini semalam, Zulkefli menggariskan tiga fokus utama dalam manifestonya 'Bersama Kehendak Rakyat' beliau.

"Daripada 13 permasalahan yang dekat dengan rakyat (Bagan Pinang), umumnya rakyat mahu isu penaiktarafan jalan utama dari Telok Kemang ke Pasir Panjang segera diselesaikan."Kedua, rakyat mahu masalah perparitan yang menjadi punca utama banjir kilat, pembiakan lalat serta nyamuk segera diselesaikan. "Ketiga dan terakhir, rakyat mahu isu alam sekitar yang melibatkan Pantai Port Dickson kerana dengan berbuat demikian, bukan sahaja menggamit semula kehadiran pelancong malah menjana ekonomi setempat," katanya.


Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri turut mengulas dakwaan Umno, kononnya permasalahan malar segar N31 tidak mampu ditanganinya, walaupun Zulkefly ditakdirkan menang kelak.

"Tahun lepas, Datuk Shaziman Abu Mansor kata di Parlimen, tiada peruntukan untuk membaiki jalan di sini. Sedangkan tanggungjawab membina jalan sebenarnya di dalam Senarai Persekutuan (Federal List)," jelasnya.

"Jadi, Umno tidak perlulah memperbodohkan rakyat dengan kempen adakah saya mampu memperbaiki jalan jika saya menang.

"Sedangkan, jika Tan Sri Mohd Isa Samad menang sekalipun, itu bukan tanggungjawabnya untuk membina jalan," tambah beliau.

ImageBeliau turut menasihatkan kepemimpinan Umno agar mengutamakan kepentingan rakyat selagi mempunyai kuasa memerintah kerajaan negeri dan persekutuan.

"Maka, saya akan senantiasa membawa isu penaiktarafan jalan ini di Dun kelak, di samping membantu Ahli Parlimen Telok Kemang (Datuk Kamarul Baharin Abbas) membawa isu ini di Parlimen.

"Sama ada jalan siap dulu, atau Umno tumbang di Negeri Sembilan, biarlah rakyat terus membuat perhitungan," katanya.

Dalam perhitungan khalayak, jika Zulkefly menang, bermakna perbezaan kerusi Pakatan dan Barisan Nasional hanya 2 kerusi sahaja.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkefly mahu rakyat tempatan bersama beliau, mendesak pihak berwajib menyelesaikan isu perparitan yang dianggapnya sebagai 'akar masalah' pada banjir kilat, pembiakan lalat-nyamuk, sampah-sarap serta bau busuk, di sini.

Tiga inti manifesto Zulkefli itu meletakkan calon Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad terus dalam sindrom penafian; kerana kebanyakan projek terbengkalai yang menjadi rahsia umum rakyat tempatan sebelum itu melibatkan peribadinya; sewaktu menjadi Menteri Besar 22 tahun yang lalu.


Sabtu, 3 Oktober 2009

PAS YAKIN MENANG DI BAGAN PINANG


Para pakar strategi PAS yakin, calon mereka mempunyai peluang yang cerah untuk menang di Bagan Pinang bahkan Presidennya berkata PAS mahu menang bukannya untuk kurangkan majoriti BN dalam pilihanraya ini.Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, partinya menyertai pilihan raya kecil ini untuk mengalahkan calon BN sebagaimana yang mereka lakukan dalam pilihan raya kecil sebelum ini.

Beliau menjawab soalan apakah strategi PAS dalam menghadapi pilihan raya ini; menang atau mahu mengurangkan majoriti BN.Ini kerana, BN menang dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya lalu iaitu 2,333 undi,Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, Pakatan boleh menang dalam pilihan raya kecil ini jika segala kerja yang dirancangkan oleh mereka berjalan baik.

"Nampaknya dari sambutan dan mood yang baik dalam perarakan pagi ini, kita boleh menang," kata beliau kepada Harakahdaily.

ImagePAS, katanya menjangkakan akan bertembung tiga penjuru hari ini dengan calon bebas, namun dengan pertandingan dua penjuru ini ia lebih memudahkan jentera PAS untuk bekerja.

Pilihan raya kecil Bagan Pinang menyaksikan pertandingan antara calon Pakatan Rakyat dari PAS, Zulkefly Mohamad Omar melawan calon BN dari Umno, Tan Sri Mohd Isa Samad.

Percubaan seorang calon bebas untuk bertanding tidak berjaya apabila kertas pencalonannya ditolak oleh SPR berikutan dari pencadang beliau bukan pengundi Bagan Pinang.

Mustafa berkata, pihaknya akan menemui SPR segera bagi menyelesaikan beberapa perkara dengan pengendali pilihan raya yang sepatutnya bebas itu.

Image (Gambar:Husam berbincang dengan anggota Parlimen Telok Kemang di hari penamaan calon)

Dalam pada itu, seorang lagi strategis PAS, Datuk Husam MUsa juga yakin PAS mampu untuk mengalahkan calon BN dalam pilihan raya kali ini berikutan dengan mood yang ada.

"Mood nasional begitu memuncak di Bagan Pinang. Berdasarkan kehadiran yang saya kira mencecah 50,000 orang dari pelbagai golongan khasnya golongan muda serta pembantu dari luar, kita yakin kemampuan untuk kita goncangkan BN sekali lagi terbuka luas," kata beliau kepada Harakahdaily.

Mengulas mengenai tidak ada calon bebas, Husam berkata, apa yang berlaku membayangkan Pakatan Rakyat semakin matang dalam berpolitik.

Ia menampakkan sokongan penuh kepada Pakatan, katanya. _



PENAMAAN CALON DI BAGAN PINANG


Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang pada pilihan raya kecil kawasan itu 11 Oktober ini akan dicabar oleh Pas.Pada pertembungan dua penjuru itu, calon BN Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad akan dicabar oleh calon Pas, Zulkefly Mohamad Omar.Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi ini hanya dua calon tersebut mengemukakan pencalonan bagi bertanding merebut kerusi tersebut.

Sementara calon bebas Shahruddin gagal berbuat demikian selepas borang pencalonannya ditolak ekoran gagal mengemukakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di kawasan ini.

Selepas tempoh bantahan tamat pada pukul 11 pagi, Pegawai Pengurus Pilihan Raya kecil berkenaan, Abdul Wahab Shamsuddin mengumumkan Mohd. Isa, 60, dan Zulkefly, 45, sebagai calon yang akan bertanding.

''Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima dua borang pencalonan iaitu dari BN dan Pas sehingga ia ditutup pada pukul 10 pagi.

''Kita juga telah menerima kedua-dua borang pencalonan tersebut dan selepas tempoh bantahan ditutup pada pukul 11 pagi ini, hanya terdapat dua bantahan yang dibuat kedua-dua parti," kata beliau di pusat penamaan calon di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson (MPPD) di sini hari ini.

Kerusi DUN tersebut kosong ekoran kematian Allahyarham Azman Mohd. Nor pada 4 September lalu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-12, Allahyarham Azman memenangi kerusi DUN itu selepas mendapat 6,430 undi mengalahkan calon Pas, Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Proses hari ini berjalan lancar dengan Mohd. Isa tiba pada di dewan penamaan calon dan menyerahkan borang pada pukul 9.02 pagi. Beliau dicadangkan oleh Kandiah Narayasamy, 63, dari MIC dan disokong oleh Kaw Yoh Se, 70, dari MCA.

Zulkefly pula menyerahkan borang pada pukul 9.06 pagi bersama pencadang, Sarif Kassim, 64, dan penyokong, Baharom Bujang.

Terdahulu, Mohd. Isa tiba sambil diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan; dua Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi masuk ke perkarangan dewan pada pukul 8.40 pagi.

Turut mengiringi calon BN itu ialah Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat; Presiden Gerakan, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dan Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk M. Keyveas.

Turut sama mengiringi Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Pergerakan Pemuda, Khairy Jamaludin.

Zulkefly pula diiringi Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Azmin Ali; Pengerusi DAP negeri, Loke Siew Fook dan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Shahruddin pula yang mengisytiharkan keluar daripada PKR semalam, memasuki dewan yang sama bersendirian pada pukul 9.15 pagi.

Beliau yang ditahan polis buat seketika sebelum dibenarkan masuk, tidak lama kemudian dilihat bergegas keluar kerana gagal menyediakan penyokong dari kalangan pengundi berdaftar di Bagan Pinang.

Sehingga tempoh penamaan calon ditutup pada pukul 10 pagi, bekas ahli jawatankuasa PKR bahagian Teluk Kemang itu tidak kelihatan.

Dalam pada itu hujan lebat sebelum proses penamaan calon itu tidak menjejaskan hampir 10,000 penyokong kedua-dua parti yang bertanding untuk berarak memberi sokongan kepada calon masing-masing.