Rabu, 2 Februari 2011

DEMOKRASI DI MALAYSIA?


Di samping ramai yang marah dan tidak puas hati dengan cadangan kerajaan mahu meminda Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (AMCP), tidak kurang pula yang merasa ketawa atau setidak-tidaknya senyum dengan berita itu.



Sukar bagi sesiapa sahaja tidak merasa marah apabila kebebasannya cuba disekat dan dikawal dengan cara yang menyalahi hak asasi manusia. Tetapi lebih sukar lagi bagi sesiapapun tidak dapat mengesan kelucuan cadangan tersebut yang begitu ketara.




Pindaan kepada AMCP yang dicadangkan itu katanya akan meliputi penerbitan dan bahan di alam maya seperti penerbitan internet, Facebook dan perisian tertentu.



Tidaklah begitu jelas berapa banyak negara yang pemimpinnya mendabik dada dan berkata, “kita mengamalkan demokrasi,” tetapi dalam waktu sama menapis dan menyekat akses kepada apa yang dianggap mereka sebagai mengancam populariti parti kerajaan.



Persamaan dan kaedah penyekatan aliran maklumat dan penggelapan segala berita, penulisan dan penerbitan terutama yang boleh menjejaskan populariti kerajaan yang memerintah atau mendedahkan apa jua kesilapan, kelemahan dan kemungkaran pemimpin mereka atau kerajaan itu sendiri boleh dilihat dalam pemerintahan kuku besi, kerajaan authoritarian, rejim pendiktatoran.



Namun, hal ini adalah lazim bagi kerajaan tersebut kerana mereka tidak percaya dan tidak melanggan kepada prinsip demokrasi dan biasanya parti yang memerintah bercita-cita mahu memerintah untuk selama-lamanya.



Pendekatan kuku besi terhadap kebebasan media sepatutnya tidak berlaku di negara demokratik dan apatah lagi negara di mana para pemimpin politik kerajaan sentiasa membuat kenyataan konon betapa demokratiknya kerajaan yang ditabdir oleh mereka. Kerajaan UMNO-BN di Malaysia adalah contoh sebuah kerajaan yang memainkan piring-hitam lagu evergreen bertemakan demokrasi ini seolah-olah kitalah negara demokratik paling misali di dunia.




Ironinya, beberapa minggu lalu Economic Intelligent Unit, sebuah unit kelolaan majalah ekonomi dan hal ehwal antarabangsa, The Economist, menyenaraikan Malaysia pada kedudukan ke-71 dalam senarai 167 buah negara yang dikaji oleh unit tersebut. Dan dengan perolehan skor sebanyak 6.19/10 Malaysia dikategorikan sebagai negara dalam golongan “Flawed Democracy” atau “Demokrasi Cacat”.



Justeru di sebalik cakap-cakap mengenai demokrasi oleh kerajaan UMNO-BN, hakikatnya markah yang diperoleh oleh Malaysia hanya kurang 0.29 mata sebelum bakal dikategorikan dalam kelas negara-negara “Rejim Hibrid”.


Demokrasi sebagaimana yang cuba dipaksa untuk difahami oleh rakyat, bukanlah semata-mata wujudnya proses pilihanraya. Ukuran demokrasi juga banyak bergantung kepada kebebasan pengaliran maklumat.



Menurut Reporters Without Borders lebih daripada satu pertiga daripada penduduk dunia tinggal di negara di mana tidak wujudnya kebebasan media. Sebahagian besar daripada negara berkenaan adalah negara di mana sistem demokrasi tidak diamalkan atau sekiranya diamalkan ia dipaliti dengan segala kekurangan dan kelemahan serious sama ada dari segi amalan demokrasi itu sendiri atau proses demokrasi.



Bagi negara dalam kategori ini, kebebasan media adalah satu masalah yang cukup bermasalah. Bagi mereka pengawalan media yang mutlak adalah satu konsep yang telah diterima pakai bagi negara bukan demokratik sejak dulu lagi. Justeru dalam era moden ini di mana internet dan dunia maya sedang beransur-ansur menggantikan peranan media bercetak, kawalan ketat dan mutlak ke atas akses kepada maklumat yang dianggap kritis terhadap kewujudan dan survival kerajaan bukan demokratik dianggap amat penting dan dilakukan menerusi pelbagai sistem kawalan (termasuk undang-undang) serta appatus keselematan (bermaksud ‘keselamatan’ sebagaimana yang dipersepsikan oleh mereka yang berada dalam kerajaan).



Menurut badan yang menjadi watchdog kepada kebebasan media dunia itu, “Untuk mencapai matlamat tersebut (kawalan aliran maklumat), kebanyakan negara bukan-demokratik menggunakan organisasi berita yang dimiliki oleh kerajaan atau oleh parti yang menguasai kerajaan bagi mempromosikan propaganda penting demi memelihara asas kuasa politik yang sedang dinikmati, dan menekan, lazimnya secara kejam, dengan menggunakan polis, tentera, atau agensi inteligen), apa sahaja percubaan oleh media atau wartawan individu untuk mencabar apa sahaja yang telah dilakukan oleh kerajaan.”




Bagaimanapun Reporters Without Borders tidak pula menamakan secara jelas apakah negara-negara yang dimaksudkan itu. Namun dengan melihat kedudukan negara-negara dalam Indeks Kebebasan Akhbar Dunia (World Press Freedom Index) 2010, kita boleh merumuskan negara-negara yang dimaksudkan itu.



Daripada 178 negara yang dikaji dan dikomplisikan maklumat mengenai amalan media akhbar masing-masing, 37 buah negara berada dalam zon oren dan merah yang dikategorikan sebagai paling buruk.




Malaysia yang menduduki tangga ke-141 bukan sahaja berada pada kedudukan satu-pertiga paling bawah tetapi turut berada dalam zon oren. Sejak tahun 2002 tatkala indeks serupa ini mula disediakan oleh World Without Borders, tahun 2010 adalah merupakan pertama kalinya Malaysia menempah kedudukan dalam zon oren. Tidak dapat dinafikan betapa kedudukan begitu buruk mencerminkan kedudukan Malaysia yang sering berada pada kedudukan satu pertiga terburuk dari segi kebebasan media.



Nampaknya cirri-ciri yang dijelaskan oleh badan ini mengenai pendiktatoran terhadap amalan media jelas mempunyai persamaan dengan apa yang berlaku di negara kita hari ini.



Namun di sebalik semua ini, timbul pula cadangan untuk memasukkan peruntukan untuk meletakkan penerbitan alam maya termasuk rangkaian sosial Facebook agar tertakluk kepada AMCP.



Jika ini berlaku, maka demokrasi yang begitu diperkatakan oleh pemimpin kerajaan UMNO-BN akan hanya tinggal omongan kosong yang sudah tidak bermakna lagi. Perkataan demokrasi bakal menjadi tidak lebih dari sebuah topeng yang menyembunyikan wajah hodoh amalan politik kotor yang dimainkan oleh UMNO-BN.



Justeru tidak akan menjadi sesuatu yang menghairkan sekiranya di masa akan datang dunia akan mengkelaskan kita sebagai negara berasaskan rejim hybrid dengan indeks kebebasan medianya terlaknat untuk sekian lamanya di zon merah.

http://bebaskan-media.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan