Saya merujuk kepada artikel yang telah ditulis oleh blogger Kelapa Mawar mengenai kesesakan lalulintas di Pekan Kota Belud. Beliau menulis antara lainnya.
Pada awal saya menjadi ahli parlimen Kota Belud, isu kesesakan trafik lalulintas di Pekan Kota Belud menjadi salah satu isu yang paling awal dibawa keperhatian saya. Memang benar keadaan kesesakan lalulintas di Pekan Kota Belud sudah sampai ketahap yang agak kronik.Sebab itu pada penghujung tahun lepas, pihak kerajaan telah memberi peruntukan sebanyak RM2.8juta untuk membina jalan penyuraian/lintas dari kawasan kedai Telak Bana ke Menunggui dan ke simpang jalan JKR. Ini akan memberi jalan masuk dan keluar baru pekan Kota Belud dan seterusnya mengurangkan kesesakan lalulintas di dalam pekan.
Malangnya setelah bertungkus lumus mendapatkan peruntukan itu, kerajaan tidak dapat membina jalan tersebut kerana dibantah oleh beberapa pihak tuan punya tanah di mana jalan itu terpaksa lalui. Perundingan demi perundingan telah dilakukan tetapi tuan-tuan punya tanah memberi berbagai-bagai alasan yang tidak dapat di terima oleh kerajaan. Kelewatan ini berpanjangan sehinggakan tempoh untuk membelanjakan duit itu semakin luput. Oleh kerana tidak mahu peruntukan itu ditarik balik oleh kerajaan, maka akhirnya, projek itu terpaksa ditangguh dan bajet untuk jalan penyuraian/lintas itu telah dipindahkan kepada pembinaan jalan Sumbulingan Pituru Laut.
Ringkasnya, janji telah ditepati tetapi oleh kerana ada pihak yang tidak bersetuju maka projek itu tidak dapat dibuat. Inilah realiti masalah pembangunan di Kota Belud sekarang ini. Hakikatnya, banyak projek-projek kerajaan menemui jalan buntu atau mengalami kelewatan yang amat ketara kerana proses perundingan pengambilalihan tapak tanah dengan pemilik gagal atau tidak berganjak.Sampai bila fenomena yang mengecewakan ini berlanjutan, hanya rakyat Kota Belud yang boleh menentukannya. Tepuk dada tanya selera.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan