Ahad, 6 September 2009

ISU KUIL KERAJAAN SELANGOR


Majlis dialog anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Dewan Banquet, MBSA tengah hari tadi akhirnya menemui persefahaman sementara, apabila Menteri Besarnya, Tan Sri Khalid Ibrahim memutuskan cadangan pemindahan kuil ke Seksyen 23, di sini ditangguhkan serta merta. Khalid terpaksa berbuat demikian tengahari tadi, disebabkan desakan ekstrem serta perang mulut oleh segelintir hadirin yang menyertai dialog tersebut.

"Saya terpaksa menangguhkan cadangan itu (memindahkan kuil) disebabkan kebanyakan pemilik-pemilik rumah di situ tidak bersetuju.
"Saya menerima pandangan rakyat di Seksyen 23 dan kerajaan negeri akan terus mencari penyelesaian di Seksyen 19 (lokasi asal kuil) yang juga terdiri oleh penduduk Melayu (dan) Islam majoriti."

Tegasnya, PKNS diarahkan mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dijadikan tapak kuil yang baru, bagi memindahkan kuil lama dari Seksyen 19 kelak. Jelasnya lagi, PKNS sewaktu Umno BN memerintah seharusnya menjelaskan kepada bakal penduduk (khususnya Melayu/Islam) Seksyen 19 tentang wujudnya kuil itu terlebih dahulu, sebelum mendirikan perumahan. Pembinaan kuil di Seksyen 19 oleh kerajaan Barisan Nasional dahulu disifatkannya tidak sesuai, kerana terlalu dekat dengan surau di samping terlalu dekat dengan rumah penduduk di situ.

Ekoran itu, kerajaan Pakatan Rakyat cuba memindahkannya ke Seksyen 23, yang kedudukkannya lebih jauh dari kawasan surau serta perumahan penduduk Melayu. Tambahnya lagi, pembinaan kuil itu juga untuk memenuhi hak penduduk minoriti beragama Hindu, di sini.

Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad yang turut mewakili kerajaan menegaskan bahawa isu kuil di Seksyen 23 hanya suatu cadangan daipada PKNS sendiri, bukannya kerajaan negeri.

Beliau yang terus dipertikai ketika menjelaskan prosedur cadangan pemindahan kuil itu, menegaskan bahawa cadangan tapak pembinaan kuil yang baru itu jauh lebih sesuai kerana bukan sahaja jauh dari kawasan perumahan setempat, malah menyelesaikan masalah rakyat di Seksyen 19 yang terdiri dari penganut Islam dan Hindu.


Katanya lagi, "sekiranya kuil tidak boleh dibina di kawasan majoriti Melayu, bermakna tidak ada mana-mana tapak boleh dibina kuil di Shah Alam, semuanya (penduduk) majoriti Melayu. Islam tidak mengajar penganutnya menafikan hak penganut lain."

Beliau juga menasihatkan segelintir individu yang hadir agar berhenti mencemuh inisiatif kerajaan negeri serta penduduk bukan Islam.

"Kuil ini untuk penganut Hindu. Apa salahnya, kita menghormati keagamaan mereka. Allah (dan) Rasul tidak pernah mengajar umat Islam mencemuh (agama lain), apatah lagi menafikan hak penganut agama lain (dalam) mengamalkan kepercayaan mereka," katanya di majlis itu.

Beliau meminta hadirin menghayati potongan ayat al-Quran (108) dari Surah an-An'am yang bermaksud:

"Dan janganlah kamu memaki hamun sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampau batas tanpa dasar pengetahuan. Demikianlah kami jadikan setiap ummat menganggap baik pekerjaan mereka. Kemudia, kepada Tuhan tempat kembali mereka, lalu Dia akan memberitahu kepada mereka apa yang telah mereka kerjakan."

Sebelum pada itu, perang mulut berlaku antara segelintir yang hadir dengan pegawai-pegawai MBSA yang cuba menenangkan mereka.

Kelihatan segelintir itu mencemuh pemimpin kerajaan negeri; yang didakwa mereka tidak mendengar keluh-kesah penduduk tempatan.

Jamil Mohd Isa, yang juga mengakui bukan ahli Umno di sini, menegaskan bahawa cadangan memindahkan kuil dari Seksyen 19 ke Seksyen 23, sebagai menambahkan masalah penduduk tempatan, bukannya menyelesaikan masalah orang-orang Melayu.

Turut menyertai aksi ekstrem itu, adalah Pengerusi Penaja Umno Cawangan Seksyen 23 sendiri, Haji Azmir Md Zain.


�Woi, kaulah pengkhiana-pengkhianat agama lah!� cemuhnya.

Cemuhan itu disorak oleh beberapa individu lain yang dipercayaai dari kenalan rapat Azmir.

Beliau juga mengancam akan membunuh Khalid Samad jika pergi ke kawasannya, Seksyen 23.

Beliau juga menghina dan mencemuh Khalid Ibrahim, MB yang dipilih oleh rakyat Selangor melalui pilihan raya yang sah itu.

K. Raja yang ditemui selepas selesai dialog berkata, "Persatuan Penduduk itu bukan mewakili semua pihak. Persatuan tidak pernah panggil kita (penganut Hindu) berbincang. Bagaimana (mereka) boleh kata itu mewakili (penduduk) Seksyen 23."

ImageDitanya mengapa tidak turut serta dalam dialog itu, beliau berkata, "Dia orang emosional, tidak ada toleransi dan hormat Menteri Besar, Khalid (Samad) dan YB yang lain. Macam mana kita nak berdislog? Ekstrem lah, saya pun tidak pernah jumpa (tindakan) seperti ini."

Ujarnya lagi, dalam dialog, sepatutnya perlu ada sikap memberi pandangan, dan mendengar pandangan. Bukannya, mengeluarkan kata-kata kesat kepada kerajaan negeri.

Beliau juga mencadangkan kuil di Seksyen 19 yang sudah 26 tahun tidak diselesaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, diselesaikan oleh Khalid Ibrahim demi membuktikan kepemimpinan Pakatan rakyat mengamalkan keadilan untuk rakyat tanpa mengira status, kaum dan kepercayaan.

Pegawai Khas kepada Adun Batu 3, Rodziah Ismail, Rozaini Mohd Rosli mendakwa dirinya cuba dikasari dan dicabuli oleh segelintir yang hadir di luar MBSA, sebelum dialog tersebut berlangsung.

"Mereka cuba merampas video cam akak. Mereka kerumuni (mengepong) akak. Mereka takut akak rakam tindakan-tindakan tidak bertamadun mereka. Akak jadi takut, takut diapa-apakan mereka itu," jelasnya lagi.

Seorang respondan berita Harakahdaily 30 Ogos lalu, Suraya Samad (gambar) yang ditemui kemudian melahirkan rasa takut kerana dirinya didakwa talam dua muka.

Beliau menegaskan sekali lagi, kenyataannya sebelum ini bukanlah bertujuan memecah-belah masyarakat, tetapi pandangan peribadinya sahaja.

Beliau mendakwa beberapa kenyataan sebelum ini telah disalah anggap dan membuat beberapa penafian terbabit.

Turut menyertai dailog tersebut, Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Mariah Mahmood selaku pemerhati. ImageBeliau menjelaskan keindahan ajaran Islam yang sebenar, bukannya seperti aksi provokasi sedemikian sebelum ini.

Beliau juga berharap penganut minoriti Hindu bersabar dan memberi peluang kepada kerajaan negeri untuk mencari suatu tapak yang lebih sesuai untuk dibina kuil.

Bertempat di Kediaman Rasmi Menteri Besar, Khalid Ibrahim meminta semua pihak tidak memanjangkan isu tersebut.

Demi kepentingan rakyat tidak kira penganut agama Islam atau Hindu dan sebagainya, beliau menjelaskan bahawa segala kritikan dan cemuhan pagi tadi perlu dilihat secara terbuka; sebenarnya membantu kerajaan negeri untuk terus memperkukuhkan Pakatan Rakyat kelak.

Harakahdaily turut menemui beberapa peserta yang lantang mencemuh kepemimpinan negeri untuk mendapatkan inti bantahan mereka, tetapi kebanyakannya meminta wartawan bertemu sendiri dengan ketua mereka, Azmir.

Dalam kalangan mereka yang ekstrem juga mengugut wartawan supaya tidak membesar-besarkan isu perarakan kepala lembu yang segar berdarah dari Masjid Negeri ke Bangunan SUK yang menempatkan Pejabat Menteri Besar; 28 Ogos lalu.

Bersandarkan beberapa klip youtube sebelum ini, didapati beberapa pemimpin Umno mendalangi aksi ekstrem tersebut.

Bagaimanapun, hadirin yang menyertai dialog hari ini kebanyakannya mendakwa mereka bukan ahli Umno, tetapi penduduk tempatan Seksyen 23.

Dari insiden kepala lembu berdarah sehinggalah perang mulut yang berlaku hari ini merupakan suatu lagi cabaran rakyat Melaysia yang terdiri oleh pelbagai bangsa, agama dan taraf sosial; selepas negara mengecapi kemerdekaan kali ke-52 tahun. _


Sabtu, 5 September 2009

NAJIB KESEORANGAN


Pelbagai isu yang melanda Umno dan Barisan Nasional daripada usaha untuk menapis internet sehinggalah kepada perpecahan parti komponen utama BN, menunjukkan Datuk Seri Mohd Najib Razak hari ini terpaksa berseorangan dalam berhadapan dengan Pakatan Rakyat. Sebaik sahaja mengambil alih tampuk kepimpinan kerajaan pada April lalu, Najib menggambarkan dirinya sebagai seorang reformis.

Bahasa reformis yang digunakan Pakatan dan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim juga diterimapakai sebagai sebahagian agendanya. Daripada hasrat meminda Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) hinggalah kepada usaha-usaha liberalisasi ekonomi, Najib mengenengahkan imej seorang pemimpin yang responsif kepada kehendak rakyat.Kemuncak usaha-usaha Najib membina imej baharu ini adalah kejayaannya meraih populariti sehingga 65 peratus, menurut kajian firma tinjauan pendapat Merdeka Centre yang diumumkan awal Julai lalu.

Bagai seorang negarawan, beliau mengelak daripada membincangkan isu remeh-temeh apabila ditanya wartawan.

Walau bagaimanapun, usaha-usaha beliau dalam mengembalikan sokongan rakyat kepada BN ini tidak mendapat sambutan baik dari dalam partinya sendiri.

Anggota kabinetnya ada yang berminat dengan usaha untuk menapis internet, kononnya untuk mengelakkan rakyat daripada menonton pornografi.

Namun beberapa jam selepas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Rais Yatim mengesahkan usaha menapis internet itu, Najib dengan tegas menafikannya, sambil mengatakan ia bertentangan dengan kehendak awam dan mustahil untuk dilakukan.

Dan tidak lama selepas berita popularitinya yang semakin meningkat itu diketahui umum juga, pemimpin-pemimpin Umno semakin agresif pula menyerang Anwar, memanggilnya sebagai pengkhianat Melayu.

Dengan diketuai timbalan presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin, para pemimpin parti lain turut menyahut serangan kepada Anwar ini dengan ceramah yang berbaur perkauman untuk menguatkan sokongan kalangan orang Melayu.

Pada pertengahan Ogos lalu, pemuda Umno mengadakan ceramah di Shah Alam juga berbaur perkauman, menuduh kerajaan Selangor yang diterajui Pakatan telah menindas orang Melayu dan mungkin menyebabkan babi dijual secara terbuka di Shah Alam.

Dan minggu lalu satu perarakan telah diadakan dekat bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor sebagai membantah pembinaan kuil.

Para penunjuk perasaan turut membawa bersama kepala lembu yang masih berdarah � tindakan yang dilihat menghina penganut agama Hindu.

Namun yang menjejaskan imej parti itu dalam hal protes ini adalah tindakan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang cuba mempertahankan para penunjuk perasaan selepas satu pertemuan dengan mereka.

Atas desakan daripada awam dan pemimpin Pakatan, naib presiden Umno itu mengubah pendiriannya dan kini mahu mereka yang membawa kepala lembu dikenakan tindakan.

Kesemua insiden-insiden ini membawa kesan buruk kepada gagasan 1 Malaysia � untuk menggalakkan perpaduan negara � yang cuba dipromosikan Najib.

Tidak cukup dengan tindakan daripada dalam parti sendiri yang menjejaskan usaha menarik sokongan bukan Melayu, komponen kedua terbesar yang sepatutnya menjaga sokongan orang Cina terhadap BN, MCA, kini berpecah dua.

Timbalan presidennya Datuk Dr Chua Soi Lek baru sahaja dipecat atas penglibatan dalam video seks dan penyokongnya dan juga presiden Datuk Seri Dr Ong Tee Keat masing-masing sedang berusaha memanggil mesyuarat agung khas, yang satu untuk mengguling Ong dan satu lagi untuk mengesahkan tindakan memecat Chua.

Dengan krisis terbaharu ini MCA kini menjadi liabiliti buat BN dan tidak mampu menarik sokongan Cina yang telah meninggalkan parti pemerintah itu pada 8 Mac tahun lalu.

Kini Najib bukan sahaja tidak boleh bergantung kepada partinya Umno untuk melaksanakan agenda perubahannya, parti komponen seperti MCA juga menjadi batu penghalang dalam usaha beliau menyekat kemaraan Pakatan.

Tanpa sokongan dan bantuan rakan-rakannya, Najib kini terpaksa berseorangan berhadapan dengan Pakatan. _

Khamis, 3 September 2009

PENDIDIKAN YANG TERJAJAH


Pada 1957, kita bukan merdeka sepenuhnya. Ketua Polis Negara masih lagi dipegang oleh British dan tentera kita masih lagi menurut acuan ketenteraan negara lain.Selain bidang ketenteraan dan keselamatan awam, ekonomi negara masih terikat dengan beberapa kepentingan empayar British. Tanah Melayu adalah antara penyumbang ekonomi terbesar kepada kemakmuran ekonomi Empayar British. Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman terpaksa menelan segala syarat yang dikemukakan British jika mahu mendapatkan kemerdekaan daripada British, khasnya yang membabitkan ekonomi negara. Pendek kata, negara dianggap tidak merdeka sepenuhnya apabila ketenteraan, ekonomi dan lain-lain bidang masih lagi tertakluk dibawah belenggu sistem penjajahan.

Salah satu kaedah meneruskan penjajahan ialah melalui bidang pendidikan. Penjajah mewujudkan dasar pecah dan perintah (divide and rule) melalui pendidikan vernakular bertujuan melebarkan lagi jurang perpecahan antara kaum-kaum di negara ini.

Walaupun British telah meninggalkan negara ini tapi pada hakikatnya pendidikan hari ini turut diwarisi oleh semangat penjajahan tersebut.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) adalah contoh warisan penjajah.

Tamat segera

Mukhriz Mahathir pernah mencadangkan sebelum ini agar sistem sekolah vernakular ditamatkan segera. Tapi, bagaimanapun mungkin kerana desakan tuntutan politik dan mengambil perhitungan undi, maka pandangan-pandangan semacam ini tidaklah boleh disebarluaskan ke tahap perdebatan yang lebih tinggi.

Sistem vernakular memang amalan pendidikan penjajah British. Anehnya, sistem ini tidak digunakan di negara-negara lain termasuk di Britain sendiri. Malah kebanyakan negara Eropah dan negara-negara lain menggalakkan pendidikan satu aliran sebagai suatu kaedah, guna memupuk perpaduan sekali gus menjalin persefahaman sesama warganegara yang berbilang bangsa.

Mantan Menteri Pelajaran Dato' Abdul Razak Hussein telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran pada 1956 setelah melihat, bahawa perpaduan antara kaum di Malaysia ini akan berjaya dicapai melalui bidang pendidikan dan sekolah-sekolah.

Maka, lahirlah Penyata Razak 1956 yang secara jelasnya mencadangkan agar ditubuhkan hanya satu jenis sekolah saja yang terbuka kepada para pelajar daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Tujuan Penyata Razak adalah seperti berikut:-

a. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

b. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu.

c. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

d. Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

e. Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.

f. Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

g. Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

Bagaimanapun, sistem vernakular tetap wujud dan sekolah satu aliran itu gagal dilaksanakan berikutan beberapa tuntutan tokoh-tokoh pimpinan MCA dan MIC yang tidak senang dengan gagasan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu.

Malah, dikatakan bahawa gara-gara Penyata Razak itulah, maka Dr Lim Chong Eu memilih keluar MCA, lalu menyertai Gerakan kerana tidak bersetuju dengan Penyata Razak itu.

'Satu Malaysia' gagal semai perpaduan?

Setelah 52 tahun merdeka, negara masih menampung segala jenis sekolah jenis aliran kebangsaan, warisan daripada aliran sekolah vernakular ciptaan model penjajah.

Sekolah vernakular sebenarnya, sebuah sekolah untuk bangsa asing. Dan pendidikan yang mahu mengamalkan dasar pecah dan perintah ini banyak menguntungkan British dari segi ekonominya.

Anak-anak Melayu melalui sekolah Melayu dilihat sebagai bangsa yang mestilah meneruskan kegiatan bertani, berhuma dan bertukang. Demikian juga anak-anak Cina dan India, masing-masing diletakkan mengikut pengkelasan ekonomi mereka.

Mana-mana anak Melayu yang terbaik pelajarannya di sekolah Melayu, mereka ini boleh melanjutkan pendidikan di sekolah aliran Inggeris. Ini dilakukan supaya mereka dapat memegang jawatan sebagai kakitangan kerajaan British, kerani serta lain-lain jawatan pentadbiran.

Semua ini dilakukan atas nama ekonomi juga. Kos mengirim orang Inggeris untuk bekerja di Tanah Melayu amat mahal. Jadi menggunakan tenaga tempatan, khasnya anak Melayu akan mengurangkan perbelanjaan tersebut.

Pada zaman ini, cita-cita hendak mewujudkan semula sekolah satu aliran iaitu aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu (Malaysia) menjadi semakin sukar bukan kerana desakan kaum bukan Melayu.

Tetapi, hal ini disebabkan oleh politikus Melayu sendiri yang telah memajukan dasar lebih celaru seperti PPSMI.

Mungkinkah Najib melalui slogan Satu Malaysia, dapat mengembalikan semula semangat dasar pendidikan ayahnya Tun Abdul Razak yang mahu diwujudkan sekolah satu aliran kebangsaan pada masa sekarang?

Mari kita andaikan bahawa kaum bukan Melayu pun bersetuju belajar di sekolah satu aliran yang menjadikan bahasa Melayu Malaysia ini sebagai bahasa pengantarnya terlebih dahulu.

Maka, jika keadaan ini berlaku, adakah PPSMI akan dimansuhkan kalau kaum bukan Melayu mendesak agar PPSMI dimansuhkan di sekolah satu aliran tersebut, lalu pengajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Melayu Malaysia?

Penjajah melihat pendidikan sebagai alat meneguhkan ekonomi. PPSMI adalah dasar untuk mengukuhkan ekonomi kroni secara tersirat. Dengan juzuk pendidikan negara yang masih celaru, dibelenggu oleh kepentingan ekonomi peribadi dan gagal juga menyemai perpaduan, adakah negara benar-benar telah merdeka?_


NOSTALGIA PRU-12 DI SABAH : SUARA BEBAS TUARAN


Ketika mengikuti analisis Datuk Halik zaman yang dipaparkan kembali oleh Suara Bebas Tuaran, setelah dipostkan di sabahkini.Saya amat tertarik dengan perenggan terakhir ini..

"Akhirnya beliau memberi analisis bahawa bagi kawasan Bumiputera Islam dan Bukan Bumiputera Islam, pada saat ini amat susah untuk ditentukan. kerana ia nya dipengaruhi banyak faktor yang akan memesongkan mereka terutama membuat keputusan di saat akhir dan sering terpengaruh dengan budaya ‘terhutang budi’ . Sehingga sukar untuk membuat keputusan dan akhirnya merujuk kembali kepada Parti Pemerintah apabila mendapat habuan lumayan, sekalipun telah dilayan secara tidak adil selama ini."


Ulasan saya :

1. Pendapat ini ada kebenarnya kerana inilah tabiat dan sikap bumiputera Islam di sabah. Konsep "terhutang budi" sudah menjadi prinsip hidup mereka. Biar pemimpin itu "gagal' berbakti kepada mereka..namun atas 'pertolongan' memberi RM 50. dalam pilihanraya, maka mereka tetap mengundi calon tersebut,tanpa memikirkan generasi selepas mereka.

2. Konsep inilah yang turut memberikan "kelebihan" kepada pemimpin seperti itu...tidak pernah risau kerana membelakangkan tanggungjawab mereka..kerana bagi mereka yang penting ialah "wang'untuk pilihanraya yang akan datang.

3. Justeru itu, ramai pemimpin politik di sabah yang mewakili kawasan mereka..'gagal' membawa pembangunan, biarpun berpuluh tahun menjadi wakil rakyat di kawasan tersebut.Termasuk menyediakan keperluan asas di kawasan mereka,tetapi yang peliknya, mereka tetap mendapat majoriti yang banyak.

4. Kerana merasakan bahawa pemimpin dari parti memerintah itu adalah lebih baik daripada pembangkang dan calon bebas, maka bumiputera islam akan memberikan sokongan disaat-saat akhir.Terkecuali apa yang berlaku suatu ketika di Kuala penyu, bila calon bebas menang atas faktor peribadi calon berkenaan.

5. Pemikiran yang dikongkong oleh media masa,bahawa hanya parti pemerintah sahaja yang boleh membawa pembangunan, juga adalah sebab kepada mentaliti sedemikian.

6. Ramai golongan muda pertengahan juga yang lebih suka tunggu dan lihat daripada memainkan peranan menentukan kepimpinan kawasan mereka. Kesedaran ini masih agak lambat di kalangan bumiputera di Sabah.

7. Namun yang demikian, atas perubahan politik mendadak di semenanjung, iklim di sabah juga diharapkan akan berubah..terutama dari segi konsep 'hutang budi' itu.

Rabu, 2 September 2009

ISA MANSUH ATAU PINDA


Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan satu forum terbuka bagi membincangkan sebab Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) mesti dimansuhkan, bukannya dipinda. Ia akan dibuat sebelum pindaan akta berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, forum yang dirancang itu akan membincangkan mengenai ISA dari semua perspektif merangkumi undang-undang, hak asasi manusia dan juga dari sudut agama.

Beliau turut memberitahu, GMI setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan satu lagi himpunan kerana himpunan Mansuh 1 Ogos lalu merupakan satu kejayaan besar dan berjaya memberikan tekanan kepada pihak kerajaan

Beliau turut mempersoal kesungguhan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam mendengar segala pandangan rakyat mengenai akta zalim itu.

GMI sehingga ke hari ini, ujarnya, belum dipanggil untuk memberikan pandangan dan berbincang dengan menteri yang bertanggungjawab mengenai akta ini sedangkan kerajaan sebelum ini berjanji untuk mengadakan perbincangan dengan pihak yang berjuang untuk memansuhkan ISA.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan terhadap ISA oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula menyifatkan mereka tidak memahami maksud kesejahteraan rakyat dan undang-undang.

Beliau mempertikai cadangan Perkasa agar akta ISA turut dikenakan terhadap individu yang mengamalkan rasuah sedangkan ada undang-undang lain yang boleh dikenakan.


KRISIS TERBARU YAMAN


Konflik di Yaman yang menyaksikan pertempuran terbaharu kerajaan negara Arab itu dengan kumpulan pemberontak di utara kelihatan tidak mudah untuk diselesaikan dalam masa terdekat ini, apabila kerajaan Yaman pimpinan Presiden Ali Abdullah Saleh dan pemberontak Houthi pimpinan Abdul Malik al-Houthi gagal mencapai persetujuan untuk berdamai.

Kerajaan Ali Abdullah menolak syarat perdamaian kumpulan Houthi yang mahukan kuasa yang lebih di wilayah mereka, mendorong kumpulan Houthi mengeluarkan amaran perang yang berpanjangan akibat penolakan peluang perdamaian itu.

Ali Abdullah kini berdepan usaha sukar menangani konflik dalaman dan mengimbangi hubungan baik dengan AS dan menjaga hubungan dengan Arab Saudi dan pada masa sama mengawal usaha Saudi untuk mendominasi.

Tiga kumpulan sekaligus terlibat dalam konflik dengan kerajaan Yaman, konflik yang semakin meningkat dan menarik perhatian dunia sejak beberapa bulan lalu. Di sebelah selatan, pemberontak pemisah menjadikan suasana tegang, memperlihatkan sentimen anti-penyatuan lama selepas Yaman Utara dan Selatan bersatu.

Pada masa sama, Yaman yang menjadi sekutu Amerika Syarikat dalam perang menentang terorisme juga mengawasi pengaruh al-Qaeda yang dilihat mengambil kesempatan daripada kekacauan untuk menjadikan negara bersempadan Laut Merah dan Teluk Aden itu sebagai pusat aktiviti mereka.

Konflik paling hebat melibatkan kerajaan Ali Abdullah dengan kumpulan Syiah Zaidiyah di utara, menyaksikan pertempuran yang meningkat ketika Muslim seluruh dunia menyambut kehadiran bulan mulia Ramadhan.

Pertempuran ini ialah yang keenam dan terbaharu sejak kempen terhadap Houthi bermula pada 2004.

Menurut laporan media Yaman, sekitar 5,000 orang telah terkorban dan 200,000 menjadi pelarian akibat konflik kerajaan Yaman dengan pemberontak Houthi yang kubu kuatnya terletak di Saada, utara negara itu.

Konflik melibatkan kumpulan Syiah Zaidiyah mempunyai sejarah yang panjang dan dimensi dalaman dan serantau. Kumpulan Syiah Zaidiyah menyimpan rasa kesal sejak kejatuhan kepimpinan panjang mereka di Yaman pada 1962, kejatuhan yang menjadikan mereka terpinggir.

Dua kuasa serantau, Arab Saudi dan Iran dinilai pemerhati terlibat dalam konflik ini dan menjadikan kedua-dua pihak bertentangan sebagai proksi untuk mengukuhkan pengaruh mereka.

Hal ini tidak mengejutkan memandangkan persaingan berzaman kedua-dua negara yang berpegang pada beraliran Islam yang bertentangan. Kedua-dua negara telah menunjukkan keprihatinan mereka terhadap situasi Yaman sejak konflik terbaharu tercetus.

Saudi telah menunjukkan rasa kurang senang dengan laporan media Iran dan menuduh Iran membantu kumpulan Syiah Zaidiyah, manakala Iran menuduh Arab Saudi membantu tentera Yaman.

Arab Saudi didakwa memberi sokongan kepada beberapa kumpulan di Yaman untuk meluaskan dan mengukuhkan pengaruhnya yang mula tertanam sejak memberi bantuan kepada kerajaan Yaman menghadapi perang saudara dengan kumpulan selatan pada 1994.

Iran pula dipercayai memberi sokongan kepada kumpulan Syiah Zaidiyah di utara walaupun mereka daripada aliran Syiah yang berbeza. Sokongan ini mampu memberikannya pengaruh di kawasan-kawasan penting di rantau Asia Barat dan pada masa sama mempunyai proksi untuk mengimbangi pengaruh Arab Saudi, seperti dilakukan di wilayah timur Arab Saudi.

Yaman dalam hal ini tidak mendapat banyak manfaat, malah konflik dihadapi ini, menurut pemerhati, hampir menjerumuskannya menjadi sebuah negara yang gagal seperti Somalia, negara jirannya di seberang Teluk Aden.

Yaman sedang menyaksikan sumber hidro karbon semulajadinya semakin berkurangan dan pada masa sama juga berdepan risiko kekurangan sumber air. Konflik bersenjata hanya akan menjadikan keadaan lebih parah.

Arab Saudi berkepentingan untuk melihat kumpulan Houthi tidak berpengaruh, antaranya disebabkan kedudukannya bersempadan dengan wilayah Najran di sempadan Arab Saudi-Yaman. Najran dan sebuah lagi wilayah, Asir, ditakluk Arab Saudi ekoran konflik kedua-dua negara yang berakhir pada 1934.

Najran yang mempunyai jumlah penduduk Syiah Ismailiyah yang agak besar pernah menyaksikan konflik minoriti Syiah dengan pasukan keselamatan Arab Saudi. Dasar Arab Saudi terhadap Yaman dilihat memberi kesan kepada pengikut Syiah terbabit, yang berkongsi sentimen dengan penduduk Syiah Zaidiyah di Yaman.

Kumpulan-kumpulan Syiah berbeza aliran terbabit berkongsi sentimen yang hampir sama terhadap Arab Saudi, yang mempunyai rekod buruk berhubung minoriti Syiah di negara itu, terutama golongan majoriti kalangan mereka, Ismailiyah.

Walaupun sokongan Iran lebih kuat dilihat di wilayah timur Arab Saudi, Syiah Zaidiyah Yaman juga dikatakan mula lebih rapat dengan Tehran ekoran tekanan yang dikenakan, termasuk pengaruh Saudi yang semakin kuat di Yaman.

Kumpulan Syiah Yaman dikatakan telah membina hubungan baik dengan Tehran dan juga Hizbullah di Lubnan dalam usaha berdepan tekanan. Sentimen kebangkitan Syiah seluruh Asia Barat kebelakangan ini mampu menyumbang kepada kerjasama itu.

Yaman mempunyai hubungan sukar dengan jirannya di utara itu. Menjelang Perang Teluk pertama pada awal 1990-an, Yaman dihukum keras Saudi dan sekutu Baratnya kerana tidak menyokong agenda menyerang Iraq.

Sempadan Arab Saudi dengan Yaman pula sentiasa tegang, dengan beberapa pertempuran kecil pernah berlaku melibatkan kedua-dua negara. Prospek untuk konflik lebih besar berlaku sentiasa wujud, dan ini membuka peluang kepada Iran untuk membina pengaruh, mendedahkan rantau Asia Barat dan dunia Muslim kepada satu lagi kemungkinan konflik berdarah yang berpanjangan. _


Selasa, 1 September 2009

BENARKAH PA'MIN MENCARI SINAR BANGSANYA


“MENCARI SINAR”

Di keheningan subuh,
di pondok usang, di desa sepi,
tiba bayi diriba ibu bapa papa,
didodoi dengan ‘ida-ida'
sejarah bangsa,
pesakanya .

Berbekal ‘ida-ida’ sejarah,
Berteman doa restu bangsa,
Meraba-raba entah kemana,
Kesaorangan, ketakutan, kelaparan,

Berkat doa,
Cahaya samar menyinar,
Menyinsing sedikit harapan,
Maju setapak, demi setapak kehadapan.
Perjalanan masih jauh,

Beratus purnama lamanya,
Berat kaki melangka,
Ah!....biarlah,
Betis bertenaga,
Menyusuri jalan mencari sinar,
Menerangi alam bangsa.

Wahai!, betis muda,
Melangkah lah kehadapan,
Jangan berebutan.
Sinar masih samar-samar kelihatan.

Nukilan,
Pa’Min
Dalam Pesawat AirAsia menuju ke Bandar Udara, Sukarno-Hatta,
Kota Jogjakarta.
Tanggal 1.9.2009
Jam 11 malam.