Ahad, 11 Oktober 2009

UMNO DAN PERUBAHAN


Selepas kemenangan besar di Bagan Pinang, Umno nampaknya tidak perlu berubah kerana sudah di terima rakyat. Di pihak Pakatan Rakyat dan PAS pula, mereka perlu kembali ke bilik mesyuarat untuk mengenalpasti apa berlaku dalam pilihan raya kecil itu.

Ini kerana, harapan untuk menang atau sekurang-kurangnya mengurangkan majoriti di kubu Umno ini gagal dilaksanakan.

Sehingga analisa ini ditulis, calon BN, Tan Sri Isa Samad telah mendahului calon PAS dengan lebih 5,000 undi. Ini belum termasuk undi pos lagi.

Sebelum keputusan diperolehi lagi, ada yang sudah menyalahkan sikap para pemimpin PAS dalam jentera kempen di Bagan Pinang. Antaranya mengenepikan rakan-rakan mereka dalam PKR dan DAP.

Namun, keputusan di Bagan Pinang ini sudah tentu ada kebaikannya.

Sebagaimana yang dikempenkan, dengan kemenangan ini, Umno sudah pasti akan kekal dengan apa yang ada padanya dan tidak akan berubah.

Ini kerana, keputusan ini bermakna, Umno diterima rakyat, pemimpin rasuah tidak menjadi masalah, kesalahan politik wang bukan bermakna rasuah dan sebagainya.

Untuk itu, rakyat seluruh negara perlu terima apa yang telah diputuskan oleh penduduk Bagan Pinang bahawa pemimpin rasuah tidak jadi masalah kerana yang diperlukan rakyat adalah perkhidmatan mereka.

"Kalau pemimpin ini memberikan khidmat yang baik, apa salahnya mereka rasuah," mungkin ini mesej yang hendak dihantarkan oleh pengundi Bagan Pinang.

Dengan kemenangan ini, para media BN esok akan melaporkan, PAS kalah teruk, kemaraan Pakatan Rakyat telah berjaya disekat setakat Selangor sahaja dan sebagainya.

Menjelang keputusan ini diperolehi, seorang rakan Cina dari Port Dickson memaklumkan, orang Cina tidak mahu undi PAS kali ini kerana marah dengan apa yang berlaku di Selangor.

Mereka tidak puashati dengan beberapa kenyataan pemimpin PAS di Selangor. Sejauh manakah benarnya maklumat akan diketahui apabila analisa keputusan penuh pilihan raya ini diperolehi nanti.

Pendek kata, jentera PAS perlu mengkaji sepenuhnya senario yang berlaku di seluruh negara sematang-matangnya bagi menghadapi pilihan raya ke 13 nanti. _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan