Rabu, 30 Disember 2009

BEKALAN ELEKTRIK BAKUN TIDAK AKAN KE SABAH


KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk tidak menyalurkan bekalan elektrik dari projek hidroelektrik Bakun ke Sabah disebabkan oleh kos yang tinggi, persidangan Dewan Negara diberitahu kelmarin.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Noriah Kasnon, berkata kos yang tinggi itu disebabkan permintaan bekalan elektrik yang rendah di Sabah iaitu dalam lingkungan 300 megawatt sahaja.

“Sebaliknya, pembinaan stesen-stesen janakuasa yang lebih efektif dari segi kos adalah lebih wajar dipertimbangkan bagi memenuhi permintaan elektrik di Sabah khususnya di Pantai Timur,” katanya menjawab soalan Senator Datuk Maijol Mahap.

Noriah berkata pembinaan talian penghantaran yang jauh dari projek hidro elektrik Bakun ke Sabah serta melalui kawasan yang mempunyai muka bumi yang mencabar, turut memberi impak terhadap kos penyaluran bekalan elektrik dari projek itu ke Semenanjung.

Beliau berkata ia juga merupakan satu daripada perancangan jangka panjang bagi memenuhi keperluan bekalan elektrik di Semenanjung serta mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil.

“Pada masa ini, bahan api fosil membekalkan lebih daripada 90 peratus keperluan bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia,” katanya.

Beliau berkata kebergantungan yang begitu besar kepada bahan api fosil akan mendedahkan Semenanjung kepada risiko perbekalan serta harga bahan api yang tidak menentu sekaligus boleh menjejaskan keselamatan bekalan elektrik bagi Semenanjung.

Noriah berkata dalam perancangan pembangunan tenaga elektrik berasaskan sumber hidro bagi negeri Sabah, kerajaan telah mengenal pasti dua stesen janakuasa hidro yang berpotensi iaitu di Ulu Padas dan Liwagu sebagai satu daripada usaha untuk mengatasi masalah bekalan elektrik di negeri itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan