Memaparkan catatan dengan label musa aman. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label musa aman. Papar semua catatan

Selasa, 17 November 2009

SABAHKINI : MUSA AMAN HINA MAHKAMAH TINGGI KOTA KINABALU?


Oleh: JAMIL NASRAH

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman disifatkan telah menghina mahkamah dan sekaligus menjatuhkan imej kerajaan Negeri Sabah kerana enggan mematuhi perintah Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu agar menyelesaikan tuntutan sejumlah RM91 juta dalam kes saman sivil yang dimenangi oleh Syarikat K Sdn.Bhd pada 2004.

Ketua Cawangan UMNO Tampi-Tampi Darat, Azizul Sanarul ketika mendedahkan perkara ini kepada Sabahkini.net, memaklumkan bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah memberikan award sejumlah RM91 juta tidak termasuk faedah 8 peratus setahun kepada syarikat K Sdn.Bhd setelah kerajaan negeri tewas dalam perbicaraan sivil yang difailkan oleh tiga syarikat terhadap Kerajaan Negeri Sabah.

“Dalam keputusan mahkamah tersebut, Kerajaan Negeri diarah membayar award tersebut dalam tiga alternatif iaitu secara tunai atau tanah pertanian atau konsesi pembalakan,” ujar Azizul yang memaklumkan bahawa Musa Aman telah meremehkan perintah Mahkamah Tinggi dengan memberi kawasan hutan simpan dara (VJR) yang tidak mempunyai balak seluas 9,000 ekar.

Tegas Azizul, syarikat tersebut telah memohon kepada mahkamah untuk mengembalikan kawasan tersebut dan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu telah mengarahkan agar Kerajaan Negeri menyelesaikan isu berkenaan dalam tempoh dua minggu sahaja.

Kes tersebut adalah di peringkat muktamad dan mandatori setelah Kerajaan Negeri Sabah tidak mencabar keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengikut tempoh yang ditetapkan di bawah Akta Limitasi, namun Musa Aman enggan melayan arahan berkenaan.

“Namun kini sudah empat setengah tahun berlalu, award berkenaan diabaikan oleh Musa Aman dengan alasan tidak ada tanah kosong tersedia atau kerajaan negeri tidak mempunyai wang dan tiada konsesi pembalakan tersedia. Ironinya Musa terus memberikan konsesi kepada proksinya, Danagaya Sdn.Bhd. Apa ertinya semua ini?,” ujar Azizul yang membuat carian di Mahkamah Tinggi berhubung isu yang memalukan ini.

Azizul yang bertindak atas kapasitinya sebagai Aktivis Masyarakat dan Ketua Cawangan UMNO ingin membersihkan imej ‘muflis’ kerajaan negeri yang gagal menjelaskan hutang kepada syarikat berkenaan.

“Apa agenda Musa Aman menjelaskan bayaran sejumlah RM6.5 juta termasuk faedah kepada sebuah syarikat lain yang mendapat award daripada Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, namun enggan mematuhi perintah Mahkamah berhubung isu syarikat K Sdn.Bhd,” ujar Azizul yang akan memfailkan laporan rasmi di Ibu Pejabat SPRM berserta bukti yang beliau perolehi kerana yakin Musa Aman memperolehi sesuatu laba atau mempunyai kepentingan terhadap syarikat berkenaan.

Menurut Azizul, berdasarkan perkiraan semasa pada kadar faedah lapan peratus, Kerajaan Negeri Sabah wajib membayar sejumlah RM123.78 juta kepada syarikat K Sdn.Bhd dan jumlah tersebut akan terus meningkat jika Kerajaan Negeri gagal menjelaskan hutang tersebut.

“Kita bimbang jika syarikat K Sdn.Bhd mendapatkan perintah mahkamah untuk menyita Bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah atau Wisma Innoprise sebagaimana kejayaan Tengku Wong menyita bangunan Kerajaan Negeri di Pahang suatu ketika dahulu, maka sudah tentunya imej Kerajaan 1Malaysia Najib akan turut tercemar,” ujar Azizul yang mendesak campurtangan Perdana Menteri Malaysia.

Dengan kedudukan rizab pada kadar sifar, kata Azizul, kerajaan Negeri Sabah sebenarnya MUFLIS kerana menanggung beban hutang atau liabiliti yang tinggi sehingga akan menyebabkan pelabur membatalkan niat mereka melabur di Sabah kerana Kerajaan Negeri tidak berupaya menjelaskan hutang.

Azizul turut menggesa agar syarikat K Sdn.Bhd memfailkan saman menghina mahkamah terhadap Musa Aman yang enggan mematuhi perintah mahkamah sekalipun masih terdapat 800,000 hektar tanah kerajaan dan dua juta hektar hutan simpan komersial yang boleh dilupuskan kepada syarikat berkenaan bagi menyelesaikan hutan tersebut.

Selasa, 29 September 2009

ORANG MUSA AMAN SELESAIKAN BEKALAN AIR BERSIH


Semasa mengadakan rumah terbuka sempena Aidilfitri , ADUN BUGAYA, SEMPORNA Datuk Ramlee Marhaban yang dikaitkan dengan KM MUSA AMAN sebagai rakan dan penyokong kuat kepada KM Sabah itu..telah mengumumkan bahawa DUN BUGAYA yang sebelum ini berwakil rakyatkan Datuk Baslie Abd. Hamid akan mendapat bekalan air bersih, setelah hampir 20 tahun masyarakat di kawasan itu menunggu keperluan asas itu. Peruntukan sebanyak 15 Juta akan disalurkan menjelang tahun depan dan dijangka masalah itu dapat diatasi selewat-lewatnya pada tahun itu juga. Kerja-kerja membekalkan bekalan air bersih itu termasuk pembinaan loji penapis air dan pemasangan paip saluran bawah tanah.


Sebelum ini, ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Rahman Dahlan, juga mengumumkan perkara yang sama, apabila kerajaan pusat mempertimbangkan peruntukan sejumlah 50 juta untuk membaiki paip usang di Kota Belud untuk memastikan bekalan air bersih dapat diperolehi oleh masayarakat di daerah berkenaan. Sebelum ini ahli Parlimen daerah kota belud ialah mantan KM Sabah Datuk Salleh Said Keruak yang memegang Jawatan Ketua UMNO bahagian itu sekarang. Menurut kenyataan Ahli Parlimen, Datuk Rahman dahlan, bekalan air bersih itu akan juga dinikmati selewat-lewatnya penghujung tahun depan.


Dua isu yang sama tetapi berlainan daerah dan kawasan pilihanraya. Nampaknya kedua-dua orang Musa Aman ini begitu mengambil berat tentang keperluan asas di kawasan mereka. Apakah ini membolehkan rakyat melihat kewibawaan mereka..? atau mungkin juga mereka ikhlas membantu masyarakat yang benar-benar memerlukan bekalan air paip yang terawat..?
Namun begitu rakyat seharusnya mula sedar bahawa pemimpin yang baik dan bertanggungjawab ialah pemimpin yang banyak mengambil berat tentang masalah kehidupan mereka dan berusaha untuk menyalurkan bantuan. Semoga kedua-dua usaha murni ini berjalan dengan sempurna.