IPOH, 1 Sept: Speaker Pakatan Rakyat Perak, V.Sivakumar akan tetap meneruskan sidang DUN esok biarpun Mahkamah Tinggi Ipoh hari ini menolak permohonan injunksinya.
Pada kes yang didengar dalam kamar Mahkamah Tinggi 3 siang tadi, Pesuruhjaya Kehakiman, Tuan Tarmizi Abdul Rahman menolak permohonan V.Sivakumar (Plaintif) untuk menghalang Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim (Defendan) daripada menghalangnya menggunakan Dewan Negeri di bangunan SUK untuk persidangan DUN esok.
Mahkamah juga menetapkan tarikh 1 Oktober depan untuk kes tersebut didengar semula.
Dalam sidang media selepas itu, Sivakumar memberitahu, persidangan DUN Perak akan tetap diadakan esok walaupun permohonan injunksinya ditolak mahkamah.
Siva dalam permohonannya sebelum ini memohon injunksi mahkamah bagi menghalang Abdul Rahman dan/atau agen-agen dan/atau pekerjanya daripada bertindak menghalang beliau dari menggunakan Dewan Negeri untuk tarikh 2 September 2009 iaitu esok untuk diadakan persidangan.
Turut dipohon supaya defenden tidak menghalangnya menggunakan pejabat dan menjalankan tugas sebagai Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Perak.
Selain itu beliau juga memohon injunksi untuk mencegah sebarang penyalahgunaan, campur tangan dan pencerobohan daripada pihak defendan dan/atau agen-agen dan/atau pekerjanya.
Permohonan itu dibuat mengelak kejadian Mac lalu daripada berulang. Pada 3 Mac lalu, Sivakumar beserta kesemua ADUN Pakatan Rakyat Perak telah dihalang oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Abdul Rahman Hashim beserta agen-agennya termasuk pihak polis dari memasuki bangunan SUK untuk mengadakan persidangan DUN.
Ekoran kejadian itu, kesemua ADUN Pakatan Rakyat tersebut bertindak mengadakan sidang DUN di bawah pokok.
Esok sekali lagi bakal menyaksikan episod lanjutan krisis perlembagaan Perak. ADUN Pakatan rakyat telahpun menyatakan komitmen untuk hadir seperti notis yang telah dikeluarkan Speaker V.Sivakumar sebelum ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan