Sabtu, 12 September 2009

ZAKAT MEMBERSIHKAN JIWA DAN HARTA MANUSIA


Kemungkinan berlaku sesuatu musibah terhadap harta benda adalah disebabkan tidak membayar zakat. Salah satu cara menyelamatkan dan 'membersihkan' harta masing-masing adalah dengan menunaikan kewajipan itu termasuk bersedekah. Demikian antara pandangan penceramah Lembaga Zakat Selangor Ustaz Hamizul Abdul Hamid dalam mengupas fadhilat, kelebihan dan persoalan asas berhubung kewajipan umat Islam menunaikan rukun Islam yang ketiga itu.

Selain itu menjelaskan kedudukan, Hamizul memberitahu bahawa zakat adalah sah dilakukan secara persendirian namun ianya tidak afdal. "Lebih baik disalurkan kepada agensi yang berwajib bagi memastikan ianya disampaikan secara sistematik kepada lapan asnaf yang layak.

"Kalau nak sampaikan sendiri, mesti kadarnya mencukupi keperluan asnaf terbabit," katanya sambil memahami persoalan 'sampai' ataupun 'tidak' kepada mereka yang layak menerima zakat.

Baginya, jikalah berlaku sebarang kepincangan atau ketidaktelusan dalam penyampaian zakat itu, maka beban tanggungan tidak terletak lagi kepada si pemberi zakat.

"Kita beri pada amil zakat kita. Tanggungjawab kita sudah selesai. Sama ada amil amanah ataupun tidak, itu bukan alasan untuk kita tidak mengeluarkan zakat. Itu dia yang tanggung nanti," katanya dan mengakui turut menerima banyak aduan dan masalah berhubung pandangan itu.

Tambahnya lagi, zakat wajarlah dikeluarkan di kawasan tempat seseorang itu mencari rezeki ataupun 'mencipta' kekayaan kerana konsep, 'memulangkan' kembali kekayaan kepada golongan yang layak di kawasan tempat mencari rezeki.

"Tapi kalau nak beri zakat di kampung halaman dan kepada orang miskin, silakan...boleh juga tetapi tidak afdal," katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu kepentingan zakat yang telah disebutkan sebanyak 32 kali dalam al-Quran dan 26 kali diantaranya penyebutannya bersamaan dengan kata solat, ini suatu indikasi bahawa zakat sama penting seperti solat.

"Selain konsep syukur dan mematuhi perintah Allah swt, ianya untuk membersihkan harta atau kekayaan yang dimiliki dari hak orang lain. Dalam harta kita itu, ada hak kepunyaan orang lain," jelasnya.

Hamizul turut memperincikan golongan yang lain menerima zakat iaitu terdiri daripada lapan asnaf seperti fakir, miskin, amil menerima zakat, muallaf, hamba yang merdeka, orang yang berhutang, orang ke jalan Allah seperti belajar dan orang yang terputus perbelanjaan ketika musafir.

Katanya ramai yang salah tanggap bahawa, lapan asnaf ini mestilah terdiri daripada orang miskin adalah salah kerana hanya dua kategori sahaja yang membicara status kedudukan kekayaan seseorang iaitu asnaf fakir dan asnaf miskin.

"Itu sebab, ada pemberian yang kita beri kepada asnaf-asnaf terbabit dan mereka terdiri daripada orang berada dan ramai yang memandang serong hal ini sedangkan ianya memang dibolehkan.

"Umpamanya, memberi pemberian zakat kepada yang muallaf sedangkan dirinya memang kaya. Ini memang dibolehkan. Tidak semetinya memberi zakat kepada orang miskin sahaja. Sila rujuk ciri-ciri asnaf terbabit," katanya menjelaskan kekeliruan.

Selain itu, Hamizul menjelaskan bahawa kutipan zakat yang diterima mestilah diagihkan pada tahun semasa dan tidak dibawa ke tahun berikutnya.

Turut menarik perhatian, dalam tazkirah itu ialah penjelasan berhubung zakat pendapatan yang rata-rata umat Islam masih kabur tentang kewajipannnya.

"Zakat pendapatan juga diistilahkan sebagai zakat al-mal al-mustafad, iaitu zakat yang bersumberkan gaji dan pendapatan professional yang lain.

"Zakat pendapatan termasuklah segala jenis hasil pendapatan atau pulangan atau bayaran yang diperolehi sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberi," katanya

Zakat itu juga turut dikenali sebagai upah, gaji, bonus, dividen, hasil sewaan, royalti, hibah, elaun, honorarium, pampasan, pencen, wang KWSP, perniagaan bermusim dan lain-lain bentuk pendapatan yang berasaskan kerjaya atau sebagai ahli professional, katanya.

Terdapat tiga kaedah mengira zakat pendapatan iaitu pertama, dikira daripada keseluruhan jumlah pendapatan seseorang terus dikeluarkan 2.5 peratus sebagai zakat.

Kaedah ini dirasakan agak membebankan, jsuteru ia langsung tidak mengambil kira aspek penggunaan dan saraan seseorang, kata Hamizul.

Kaedah kedua pula katanya iaitu boleh buat dahulu tolakan asas yang sudah ditetapkan contohnya iaitu diri sendiri RM8,000; isteri RM3,000; anak-anak RM1,000 seorang; pemberian kepada ibu bapa; caruman KWSP; caruman ke dalam akaun Tabung Haji dan setelah itu baru dikeluarkan zakat 2.5 peratus.

"Kaedah ketiga ialah mengira jumlah sebenar perbelanjaan asasi, iaitu makanan, tempat tinggal, pakaian, perubatan, pengangkutan dan pendidikan...barulah dikeluarkan zakat," katanya dan menyarankan kakitangan Harakahdaily dan Siasah melakukan zakat secara potongan gaji.

"Rukun zakat hanya dua iaitu niat dan berlakunya perpindahan harta. Kerana itulah, kita boleh beri zakat melalui internet ataupun potongan gaji. Dan mudah-mudahan dengan kewajipan kita laksanakan, akan membersihkan jiwa dan harta kita," katanya mengakhiri kuliahnya yang berlangsung selama dua jam pada 2.30 petang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan