Ahad, 21 Ogos 2011

MAMPUKAH MALAYSIA SELESAIKAN HUTANG

Dalam jangkaan kita bahawa segala perbelanjaan di dalam Bajet 2011 berjalan lancar, mungkin ada sesetengah perkara yang tidak mereka jelaskan dengan lebih jujur dan telus tentang kedudukan kewangan negara kita yang sebenar-benarnya.

Kerajaan Malaysia dijangka berdepan dengan saat-saat gentingnya untuk menyelesaikan hutang sebanyak RM101.65 bilion dalam tempoh tiga tahun, iaitu dari tahun 2010 hingga 2012, apabila Sekuriti kerajaan Malaysia (bon kerajaan) dan Sukuk yang berjumlah ratusan bilion ringgit ini sampai tarikh tebusannya.

Nilai tersebut yang mencakupi 30% daripada jumlah hutang awam dalam negeri ini tidak termasuk hutang negeri asing yang bernilai RM6.2 bilion dan pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang berjumlah RM7.2 bilion. Dan jumlah ini perlu diselesaikan pada tahun 2012 nanti.

KWSP juga merupakan “khazanah” terbesar bagi kerajaan persekutuan, apabila membekalkan pinjaman sejumlah RM56.59 bilion kepada kerajaan persekutuan dan GLC (Syarikat berkaitan kerajaan) dan badan-badan ini masih berhutang RM48.36 bilion daripada KWSP sehingga hari ini.

Sekiranya jumlah ini ditambah pula dengan RM93.11 bilion yang dilaburkan oleh KWSP ke atas bon kerajaan, maka jumlah dua angka ini mencakupi 40% daripada jumlah dana yang ada dalam KWSP. Dengan kata lain, KWSP menggunakan 40% wang pencen yang disimpan oleh pekerja Malaysia untuk menampung perbelanjaaan kerajaan persekutuan atau GLC.

Ini sebenarnya mencerminkan betapa pembaziran dan kurangnya disiplin kerajaan dalam mengendalikan kewangan negara sejek krisis ekonomi yang melanda negara pada tahun 2007. Sepanjang hampir 13 tahun yang lalu, kerajaan tidak bersungguh-sungguh untuk mengurangkan defisit dan hutang yang dipikul, dimana ianya menjurus kepada saat-saat genting kepada kerajaan untuk membayar hutang bon dan sukuk sebelum menjelang tahun 2013.

Kerajaan Malaysia sebenarnya mempunyai peluang untuk mencapai keseimbangan belanjawan dalam tempoh 13 tahun yang lalu, namun kerajaan masih memilih untuk mengekalkan belanjawan defisit pada paras purata 4.3%. Dan pada masa yang sama, hutang kerajaan pula melonjak dengan mendadak selepas krisis ekonomi, dari RM 90 bilion(32% berbanding KNDK ) kepada hampir RM 350 bilion(51% berbanding KDNK) pada tahun keangan berakhir 2009.

Kerajaan Malaysia memang bermasalah dalam disiplinnya ketika mengendalikan kewangan. Pada hakikatnya, kerajaan Malaysia berupaya untuk menyeimbangkan belanjawannya pada ketika harga pasaran antarabangsa minyak melonjak 2 tahun lepas. Namun, kerajaan persekutuan telah terlepas peluang keemasan ini.

Ekonomi Malaysia telah menurun, jikalau dibandingkan dengan beberapa tahun yang lalu. Kini, kerajaan bukan sahaja berdepan dengan masalah kekurangan pendapatan, malah perlu mengekalkan perbelanjaan yang besar untuk merangsang ekonomi. Jadi, adalah sukar untuk kerajaan mencapai matlamat menyeimbangkan belanjawan.

Dan sekarang, dengan beberapa projek-projek mega yang menanti seperti yang diumumkan di dalam Bajet 2011 iaitu pembinaan Menara Warisan dan sebagainya, adakah kerajaan persekutuan mampu untuk menyelesaikan kemelut kewangan mereka ini? Sekiranya tidak, ia secara langsung akan melibatkan seluruh rakyat Malaysia dalam hal ini.

Selasa, 2 Ogos 2011

SURAT NURUL IZZAH KEPADA NAJIB


Surat terbuka kepada,
Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Dato’ Sri Mohd Najib BinTun Abdul Razak.

Adalah tidak bermoral dan haram untuk mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-13 sebelum melaksanakan reformasi pilihan raya yang bebas dan adil

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri,

Sebagai Perdana Menteri, adalah amat mustahak untuk YAB memenuhi janji yang termaktub di dalam ucapan penutup Persidangan Pemimpin Pelajar Malaysia Kelima (MSLS) pada 31 Julai 2011, dan saya petik:
“Saya komited untuk melakukan pembaharuan pilihan raya. Kami akan melaksanakannya. Contohnya, terdapat kebimbangan mengenai pengundi hantu. Kami akan memastikan tidak akan ada peluang untuk pengundi hantu.”
“Jangan merasa sangsi komitmen kami untuk memperbaiki sistem tersebut. Kami mempunyai kelemahan tetapi tidak ada seseorang pun yang dapat menafikan bahawa terdapat demokrasi.”

Rakyat tidak akan membiarkan tindakan mengalihkan perhatian dengan memberi alasan-alasan seperti perubahan kepada tempat perhimpunan, tindakan keras atau secara terpilih mengisytiharkan kumpulan-kumpulan tertentu sebagai tidak sah (berkait BERSIH 2.0).
Sebaliknya, tumpuan perlu dikekal kepada lapan tuntutan untuk merealisasikan proses pilihan raya yang bersih dan adil di Malaysia.
1. Bersihkan senarai pengundi
2. Mereformasikan undi pos
3. Gunakan dakwa kekal
4. Akses Media Bebas dan Adil
5. Masa berkempen minima 21 hari
6. Kukuhkan institusi awam
7. Hentikan rasuah
8. Hentikan politik kotor.


Sebagai peringatan, dan imbauan sejarah, rakyat tidak pernah memilih YAB sebagai Perdana Menteri Malaysia. Oleh itu, peluang untuk melaksanakan reformasi pilihan raya menyeluruh ini merupakan peluang terbaik untuk menerima mandat dari rakyat untuk memerintah.


Pelaksanaan reformasi pilihan raya yang berani ini juga memberi isyarat bahawa YAB tidak lagi terbuka kepada ugutan oleh elemen-elemen pelampau berhaluan kanan yang telah menyekat refomasi untuk Malaysia yang lebih baik.

YAB juga perlu menyelami hati nurani dengan menyedari bahawa pelaksanaan reformasi ini akan memastikan YAB mendapat pengesahan dari rakyat bukan daripada mereka yang ingin merampas takhta politik YAB.

Dengan melaksanakan tanggungjawab moral ini, YAB secara efektif memenuhi syarat-syarat di bawah Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan.
Merelealisasikan Suruhanjaya Pilihan Raya yang menikmati sokongan dan keyakinan rakyat.

Akhir sekali, saya mengucapkan terima kasih kepada YAB sekurang-kurangnya kerana menyenaraikan refomrasi pilihan raya sebagai perkara yang memerlukan tindakan segera dan secara jujur berharap YAB akan melaksanakan lapan tuntutan yang dibuat oleh BERSIH 2.0 sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.

Adalah tidak bermoral dan haram bagi YAB untuk mengadakan PRU Ke-13 tanpa melaksanakan refomasi pilihan raya yang perlu bagi memastikan pilihan raya yang bersih dan adil.
Pilihan raya yang bersih dan adil merupakan prasyarat di dalam sistem demokrasi yang moden; ke arah mereleasasikan mandat sebenar daripada para pengundi untuk memilih kerajaan yang memerintah hari ini.
Oleh itu, saya ingin menyatakan bahawa jika YAB dan BN dipilih secara bebas dan adil sebagai kerajaan, maka menjadi tanggungjawab saya untuk berkhidmat sebagai pembangkang yang setia kepada negara.
Nurul Izzah Anwar
Ahli Parlimen Lembah Pantai
Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat
Terpenting, Rakyat Malaysia