Jumaat, 11 November 2011

111111 MISTERI YANG TERUNGKAI

Andaikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) merupakan PRU terakhir yang penuh bermakna kepada golongan warga emas daripada kalangan elit politik seperti bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, maka isu pokok yang wajar ditelusuri bersama oleh rakyat Malaysia ialah, apakah ciri-ciri negara yang telah dicorakkan oleh elit politik selama ini yang telah membawa kepada kemudaratan dari segi kekayaan negara?

Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) yang berdepan dengan desakan dalaman UMNO supaya mengundurkan diri sebelum PRU Ke-13, nampaknya mengakui bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelemahan diri yang menyebabkannya kehilangan sokongan sebahagian besar rakyat, justeru wujudnya keperluan untuk program transformasi ekonomi dan seumpamanya.

Namun, apa yang enggan diakui Najib adalah, ciri-ciri negara yang dicorakkan oleh elit politik BN atau lebih tepat UMNO sebenarnya telah memudaratkan negara. Tidak kira sehebat mana program transformasi dilaksanakan, Malaysia tidak akan memasuki era negara berpendapatan tinggi. Hal ini kerana, pendekatan kepada program transformasi tidak lain tidak bukan masih terkongkong dalam dasar lama yang membawa manfaat kepada elit politik tetapi memudaratkan negara dalam jangka panjang.

Kalau dulu nama yang digunakan ialah pembangunan, kini namanya transformasi. Cukup indah dan bagus kalau apa yang diamalkan ialah pembangunan yang mampan dan kekayaan negara diagihkan untuk menjaga kebajikan rakyat terbanyak, bukan diperuntukkan kepada elit lingkungan pemimpin UMNO dengan tertanamnya budaya rent seeking.

Tetapi realitinya cukup menyedihkan. Apabila diteliti projek-projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan Negara dan penemuan-penemuan Laporan Ketua Audit Negara, cukup banyak program atau projek yang melibatkan skandal penyelewengan wang rakyat. Pendedahan terbaru ialah bayaran untuk pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta yang direkodkan sebagai “hutang” National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Wacana dominan pemerintah selama ini yang bertapak di atas kewajaran pembangunan agak meyakinkan. Namun, apabila apa yang berlaku ialah peragutan kekayaan bertopengkan nama pembangunan, dan apabila kekerapan skandal sedemikian telah membawa kepada apa yang disifatkan sebagai “sindrom katak dalam air mendidih” (boiling frog syndrome), bukan sahaja kekayaan diragut oleh golongan yang mencorakkan ciri-ciri negara mengikut acuan, nafsu dan kepentingan mereka, negara bakal berdepan dengan krisis jika sekiranya rakyat menjadi katak yang kehilangan kekuatan untuk melompat keluar.

Kalau sebelum PRU ke-12 pada 3 Mac 2008, “sindrom katak dalam air mendidih” merupakan sesuatu yang lumrah dalam kebanyakan negara yang mengangkat wacana “negara pembangunan” (developmental state). Elit politik dalam negara seumpama yang lahir daripada perjuangan nasionalisme dan anti-kolonialisme selepas perang dunia kedua melihat pembangunan ekonomi dan pemodenan masyarakat sebagai agenda terpenting mereka.

Negara dan agensi negara dilihat sebagai pemacu utama dengan kerjasama sektor swasta. Bagi menjayakan agenda tersebut, negara harus bersifat pembangunan. Rakyat pula harus berterima kasih kepada pemimpin negara dan jangan banyak mempertikaikan sesetengah kelemahan yang dianggap remeh-temeh. Dengan kata lain, elit yang mewakili kerajaan dan memperkudakan negara tahu segala-galanya. Rakyat namanyasilent majority. Cukup indah hubungan dari atas ke bawah yang dilakarkan oleh para elit dan media yang mendokong “kewartawanan pembangunan” (developmental journalism).

Tetapi realiti hari ini ialah, peranan meluas pemerintah dalam ekonomi tanpa mekanisme semak dan seimbang yang berkesan dan menyeluruh bukan sahaja menyekat perkembangan modal swasta, malahan menyebabkan amalan rasuah dan budaya rent seeking dalam pelbagai aktiviti termasuklah pengeluaran lesen, kawalan harga, kuota import dan sebagainya sementara hutang Kerajaan Persekutuan melambung tinggi seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Sumber: Laporan Bank Negara Malaysia, dan Laporan Ekonomi, Kementerian Kewangan

Di Malaysia, Mahathirisme melihat pemerintahan kuku besi sebagai “elemen buruk yang diperlukan” sesuai dengan hegemoni elit pemerintah supaya negara dapat memecut dari segi pembangunan. Sehinggalah kepada pentadbiran Najib, jaringan kumpulan elit dibentuk dan rent seekingdiangkat sebagai bentuk sokongan ekonomi-politik utama untuk program transformasinya. Pelbagai agensi dibentuk untuk penyaluran peruntukan bukan secara langsung kepada rakyat terbanyak atau kumpulan sasaran seperti petani tetapi kepada agensi bersifat monopoli atau oligopoli seperti Bernas. Perangkaan sebuah Belanjawan Negara lebih merupakan penyenaraian dan pengagihan projek kepada jaringan kumpulan elit seumpama asalkan alasan bagus dapat difikirkan. Maka aktiviti seumpama yang bercanggah dengan produktiviti diteruskan meskipun program transformasi kononnya mahukan peningkatan produktiviti.

Wacana baharu yang perlu diangkat dewasa ini untuk memberi kekuatan kepada rakyat terbanyak, justeru menyemak amalan dan tingkah laku elit yang cenderung memperkudakan peranan dan kekayaan negara demi kepentingan diri ialah konsep “negara peragut” (predatory state) yang dibicarakan oleh sarjana seperti James K. Galbraith dan Peter Evans.

Dalam konteks Malaysia, isu-isu seperti tadbir urus dan ketelusan, ketidakcekapan, rasuah dan kronisme merupakan persoalan pokok yang perlu dijawab oleh elit seperti Najib yang menguar-uarkan segala program transformasi.

Negara perlu disusun semula supaya benar-benar merakyatkan ekonomi dalam menjaga kepentingan semua pihak dan tidak hanya menjaga kepentingan sebahagian kecil yang mempunyai kaitan politik dengan pemimpin negara. Isu pokok yang cukup mustahak untuk negara yang terperangkap dalammiddle-income trap seperti Malaysia ialah, transformasi yang membawa pembangunan tetapi pada sama yang sama mengizinkan peragutan kekayaan negara oleh sekumpulan kecil elit bukan sahaja jauh menyimpang jauh daripada makna transformasi, malahan akan memudaratkan negara sehingga rakyat terbanyak terpaksa menanggung beban berat apabila krisis serious melanda negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, apa yang dilakarkan oleh konsep “negara peragut” bahawa “pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna” bakal mengorbankan kekayaan negara dan menjahanamkan negara juga merupakan lakaran yang tepat dengan program transformasi yang diuar-uarkan oleh Kerajaan UMNO-BN yang dipimpin oleh Najib.

Walau bagaimanapun, rakyat di kebanyakan negara di dunia ini kini bangkit daripada “sindrom katak dalam air mendidih”. Kekuatan rakyat di negara-negara Timur Tengah contohnya telah berjaya menumpaskan pemerintah yang meragut kekayaan negara atas nama pembangunan dan transformasi. Begitu juga di Malaysia, kebangkitan rakyat terserlah semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

Meskipun serangan bertalu-talu dilancarkan terhadap peguam Ambiga yang memimpin gerakan BERSIH demi melenyapkan impak besar gerakan tersebut terhadap politik tanah air, senario global menunjukkan bahawa, rakyat terbanyak pasti bangkit dan tolak parti politik yang membawa negara ke arah “negara peragut” bertopengkan nama pembangunan dan transformasi.

Demi menyelamatkan kekayaan negara dan harapan baharu kepada generasi akan datang, mari kita lompat keluar daripada kuari air yang semakin panas suhunya sebelum terlambat.

Sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, hari ini tetap merupakan hari lahir saya. Semoga kekayaan negara sempat diselamatkan daripada para elit yang berselindung di sebalik “negara peragut” yang menjuruskan negara ke arah pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

Sabtu, 5 November 2011

SABAH SOKONG PENDIDIKAN


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membelanjakan jutaan ringgit setiap tahun untuk pembang- unan pendidikan di semua sekolah Cina jenis per- sendirian dan jenis kebangsaan.Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman berkata, peruntukan yang sama juga diberikan kepada sekolah-sekolah mubaligh di negeri ini untuk tujuan yang sama.Katanya, sebagai contoh, SRJK Chung Hwa Likas adalah antara penerima yang mendapat manfaat daripada dasar kerajaan itu.

Bagi memastikan negeri ini memainkan peranan positif dalam pembangunan pendidikan negara, kita perlu tenaga kerja yang berpengetahuan untuk mencapainya.


Oleh itu sekolah memainkan peranan penting terutamanya di peringkat awal persekolahan dan diikuti pendidikan di peringkat institut pengajian tinggi untuk melahirkan tenaga kerja yang berpengetahuan tinggi, katanya.Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya sempena Malam Budaya SJK (C) Chung Hwa Likas di Dewan Tshung Tsin, di sini, pada malam tadi.


Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Dr. Yee Moh Chai.Musa berkata, rakyat di negeri ini amat berterima kasih kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam Belanjawan 2012 yang memperuntukkan RM100 juta kepada setiap sekolah Cina, Tamil dan sekolah mubaligh serta institut Mara di negara ini.


Keputusan kerajaan itu jelas menunjukkan bahawa kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri amat sensitive terhadap keperluan pelbagai jenis sekolah di negara ini dalam usaha untuk meningkatkan lagi keseluruhan taraf pendidikan negara, katanya.Beliau berkata, kerajaan negeri juga berhasrat untuk merapatkan jurang perbezaan dari segi pendidikan di semua kawasan di negeri ini.Dengan itu katanya, Sabah telah membangunkan hub pendidikan di Sandakan yang menawarkan pelbagai kursus termasuk pertanian mampan yang ditawarkan oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan juga beberapa institut yang lain akan mengwujudkan cawangan masing- masing di kawasan itu.Musa turut berterima kasih kepada SJK (C) Chung Hwa Likas atas usaha menganjurkan Malam Kebudayaan.


Kerajaan negeri amat bangga kerana sekolah ini menerus- kan kecemerlangan dalam aktiviti kokurikulum dan akademik. Ia adalah hasil daripada sistem pengurusan sekolah yang baik dan komitmen Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah ini, katanya


.Beliau berkata, kerjasama yang baik antara semua pihak itu akan memberi manfaat kepada para pelajar sekolah berkenaan.Konsert pada malam ini juga dapat meningkatkan interaksi dan membantu para pelajar memantapkan lagi komunikasi serta mengasah kemahiran kepimpinan mereka.Di samping itu, ia juga membolehkan sekolah ini mempamerkan kualiti pendidikan dari segi Kesenian dan seterusnya memberikan peluang kepada para pelajar untuk menonjolkan bakat mereka, katanya.