Jumaat, 11 November 2011

111111 MISTERI YANG TERUNGKAI

Andaikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU Ke-13) merupakan PRU terakhir yang penuh bermakna kepada golongan warga emas daripada kalangan elit politik seperti bekas Perdana Menteri Mahathir Mohamad, maka isu pokok yang wajar ditelusuri bersama oleh rakyat Malaysia ialah, apakah ciri-ciri negara yang telah dicorakkan oleh elit politik selama ini yang telah membawa kepada kemudaratan dari segi kekayaan negara?

Perdana Menteri Najib Razak (gambar kanan) yang berdepan dengan desakan dalaman UMNO supaya mengundurkan diri sebelum PRU Ke-13, nampaknya mengakui bahawa Kerajaan Barisan Nasional (BN) mempunyai kelemahan diri yang menyebabkannya kehilangan sokongan sebahagian besar rakyat, justeru wujudnya keperluan untuk program transformasi ekonomi dan seumpamanya.

Namun, apa yang enggan diakui Najib adalah, ciri-ciri negara yang dicorakkan oleh elit politik BN atau lebih tepat UMNO sebenarnya telah memudaratkan negara. Tidak kira sehebat mana program transformasi dilaksanakan, Malaysia tidak akan memasuki era negara berpendapatan tinggi. Hal ini kerana, pendekatan kepada program transformasi tidak lain tidak bukan masih terkongkong dalam dasar lama yang membawa manfaat kepada elit politik tetapi memudaratkan negara dalam jangka panjang.

Kalau dulu nama yang digunakan ialah pembangunan, kini namanya transformasi. Cukup indah dan bagus kalau apa yang diamalkan ialah pembangunan yang mampan dan kekayaan negara diagihkan untuk menjaga kebajikan rakyat terbanyak, bukan diperuntukkan kepada elit lingkungan pemimpin UMNO dengan tertanamnya budaya rent seeking.

Tetapi realitinya cukup menyedihkan. Apabila diteliti projek-projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan Negara dan penemuan-penemuan Laporan Ketua Audit Negara, cukup banyak program atau projek yang melibatkan skandal penyelewengan wang rakyat. Pendedahan terbaru ialah bayaran untuk pembelian kondominium mewah berharga RM9.8 juta yang direkodkan sebagai “hutang” National Meat and Livestocks Corporation Sdn Bhd (NMLC) kepada National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) yang melibatkan keluarga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Wacana dominan pemerintah selama ini yang bertapak di atas kewajaran pembangunan agak meyakinkan. Namun, apabila apa yang berlaku ialah peragutan kekayaan bertopengkan nama pembangunan, dan apabila kekerapan skandal sedemikian telah membawa kepada apa yang disifatkan sebagai “sindrom katak dalam air mendidih” (boiling frog syndrome), bukan sahaja kekayaan diragut oleh golongan yang mencorakkan ciri-ciri negara mengikut acuan, nafsu dan kepentingan mereka, negara bakal berdepan dengan krisis jika sekiranya rakyat menjadi katak yang kehilangan kekuatan untuk melompat keluar.

Kalau sebelum PRU ke-12 pada 3 Mac 2008, “sindrom katak dalam air mendidih” merupakan sesuatu yang lumrah dalam kebanyakan negara yang mengangkat wacana “negara pembangunan” (developmental state). Elit politik dalam negara seumpama yang lahir daripada perjuangan nasionalisme dan anti-kolonialisme selepas perang dunia kedua melihat pembangunan ekonomi dan pemodenan masyarakat sebagai agenda terpenting mereka.

Negara dan agensi negara dilihat sebagai pemacu utama dengan kerjasama sektor swasta. Bagi menjayakan agenda tersebut, negara harus bersifat pembangunan. Rakyat pula harus berterima kasih kepada pemimpin negara dan jangan banyak mempertikaikan sesetengah kelemahan yang dianggap remeh-temeh. Dengan kata lain, elit yang mewakili kerajaan dan memperkudakan negara tahu segala-galanya. Rakyat namanyasilent majority. Cukup indah hubungan dari atas ke bawah yang dilakarkan oleh para elit dan media yang mendokong “kewartawanan pembangunan” (developmental journalism).

Tetapi realiti hari ini ialah, peranan meluas pemerintah dalam ekonomi tanpa mekanisme semak dan seimbang yang berkesan dan menyeluruh bukan sahaja menyekat perkembangan modal swasta, malahan menyebabkan amalan rasuah dan budaya rent seeking dalam pelbagai aktiviti termasuklah pengeluaran lesen, kawalan harga, kuota import dan sebagainya sementara hutang Kerajaan Persekutuan melambung tinggi seperti yang ditunjukkan dalam jadual di bawah:

Sumber: Laporan Bank Negara Malaysia, dan Laporan Ekonomi, Kementerian Kewangan

Di Malaysia, Mahathirisme melihat pemerintahan kuku besi sebagai “elemen buruk yang diperlukan” sesuai dengan hegemoni elit pemerintah supaya negara dapat memecut dari segi pembangunan. Sehinggalah kepada pentadbiran Najib, jaringan kumpulan elit dibentuk dan rent seekingdiangkat sebagai bentuk sokongan ekonomi-politik utama untuk program transformasinya. Pelbagai agensi dibentuk untuk penyaluran peruntukan bukan secara langsung kepada rakyat terbanyak atau kumpulan sasaran seperti petani tetapi kepada agensi bersifat monopoli atau oligopoli seperti Bernas. Perangkaan sebuah Belanjawan Negara lebih merupakan penyenaraian dan pengagihan projek kepada jaringan kumpulan elit seumpama asalkan alasan bagus dapat difikirkan. Maka aktiviti seumpama yang bercanggah dengan produktiviti diteruskan meskipun program transformasi kononnya mahukan peningkatan produktiviti.

Wacana baharu yang perlu diangkat dewasa ini untuk memberi kekuatan kepada rakyat terbanyak, justeru menyemak amalan dan tingkah laku elit yang cenderung memperkudakan peranan dan kekayaan negara demi kepentingan diri ialah konsep “negara peragut” (predatory state) yang dibicarakan oleh sarjana seperti James K. Galbraith dan Peter Evans.

Dalam konteks Malaysia, isu-isu seperti tadbir urus dan ketelusan, ketidakcekapan, rasuah dan kronisme merupakan persoalan pokok yang perlu dijawab oleh elit seperti Najib yang menguar-uarkan segala program transformasi.

Negara perlu disusun semula supaya benar-benar merakyatkan ekonomi dalam menjaga kepentingan semua pihak dan tidak hanya menjaga kepentingan sebahagian kecil yang mempunyai kaitan politik dengan pemimpin negara. Isu pokok yang cukup mustahak untuk negara yang terperangkap dalammiddle-income trap seperti Malaysia ialah, transformasi yang membawa pembangunan tetapi pada sama yang sama mengizinkan peragutan kekayaan negara oleh sekumpulan kecil elit bukan sahaja jauh menyimpang jauh daripada makna transformasi, malahan akan memudaratkan negara sehingga rakyat terbanyak terpaksa menanggung beban berat apabila krisis serious melanda negara pada masa hadapan.

Sesungguhnya, apa yang dilakarkan oleh konsep “negara peragut” bahawa “pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna” bakal mengorbankan kekayaan negara dan menjahanamkan negara juga merupakan lakaran yang tepat dengan program transformasi yang diuar-uarkan oleh Kerajaan UMNO-BN yang dipimpin oleh Najib.

Walau bagaimanapun, rakyat di kebanyakan negara di dunia ini kini bangkit daripada “sindrom katak dalam air mendidih”. Kekuatan rakyat di negara-negara Timur Tengah contohnya telah berjaya menumpaskan pemerintah yang meragut kekayaan negara atas nama pembangunan dan transformasi. Begitu juga di Malaysia, kebangkitan rakyat terserlah semasa perhimpunan BERSIH 2.0.

Meskipun serangan bertalu-talu dilancarkan terhadap peguam Ambiga yang memimpin gerakan BERSIH demi melenyapkan impak besar gerakan tersebut terhadap politik tanah air, senario global menunjukkan bahawa, rakyat terbanyak pasti bangkit dan tolak parti politik yang membawa negara ke arah “negara peragut” bertopengkan nama pembangunan dan transformasi.

Demi menyelamatkan kekayaan negara dan harapan baharu kepada generasi akan datang, mari kita lompat keluar daripada kuari air yang semakin panas suhunya sebelum terlambat.

Sama ada Parlimen dibubarkan atau tidak, hari ini tetap merupakan hari lahir saya. Semoga kekayaan negara sempat diselamatkan daripada para elit yang berselindung di sebalik “negara peragut” yang menjuruskan negara ke arah pembangunan tanpa pertumbuhan bermakna.

*Ooi Heng ialah Pengarah Eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReview.

1 ulasan: