Rabu, 2 September 2009

ISA MANSUH ATAU PINDA


Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) akan mengadakan satu forum terbuka bagi membincangkan sebab Akta Keselamatan Dalam Negeri(ISA) mesti dimansuhkan, bukannya dipinda. Ia akan dibuat sebelum pindaan akta berkenaan dibentangkan untuk bacaan kali pertama pada persidangan Dewan Rakyat, Oktober ini.Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, forum yang dirancang itu akan membincangkan mengenai ISA dari semua perspektif merangkumi undang-undang, hak asasi manusia dan juga dari sudut agama.

Beliau turut memberitahu, GMI setakat ini tidak bercadang untuk mengadakan satu lagi himpunan kerana himpunan Mansuh 1 Ogos lalu merupakan satu kejayaan besar dan berjaya memberikan tekanan kepada pihak kerajaan

Beliau turut mempersoal kesungguhan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dalam mendengar segala pandangan rakyat mengenai akta zalim itu.

GMI sehingga ke hari ini, ujarnya, belum dipanggil untuk memberikan pandangan dan berbincang dengan menteri yang bertanggungjawab mengenai akta ini sedangkan kerajaan sebelum ini berjanji untuk mengadakan perbincangan dengan pihak yang berjuang untuk memansuhkan ISA.

Beliau ketika diminta mengulas mengenai cadangan pindaan terhadap ISA oleh Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) pula menyifatkan mereka tidak memahami maksud kesejahteraan rakyat dan undang-undang.

Beliau mempertikai cadangan Perkasa agar akta ISA turut dikenakan terhadap individu yang mengamalkan rasuah sedangkan ada undang-undang lain yang boleh dikenakan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan