Khamis, 17 September 2009

KALUNGAN SELIPAR : RAKYAT BIDAS


Tindakan seorang perwakilan MIC mencadangkan agar 'kalungan selipar' diletakkan pada gambar bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad terus dibidas oleh pemimpin Barisan Nasional (BN) dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Noh Omar berkata, cadangan itu tidak sepatutnya dikemukakan oleh pemimpin daripada mana-mana parti terutama komponen BN sendiri.

Katanya, pihak yang terbabit harus menghormati jasa yang telah disumbangkan oleh Dr. Mahathir terhadap pembangunan negara dan seluruh rakyat termasuk kaum India sendiri.

''Secara peribadi saya menganggap perwakilan itu tidak sepatutnya membuat cadangan sedemikian. Beliau perlu menunjukkan rasa hormat kepada Dr. Mahathir sebagai orang yang banyak berjasa sama seperti kita menghormati pemimpin lain," ujarnya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Datuk T. Rajagopalu ketika dihubungi berkata, cadangan berhubung kalungan selipar yang dikemukakan oleh seorang perwakilan MIC bukan mewakili keseluruhan isi hati ahli parti dan orang India.

Beliau menegaskan, pada perhimpunan agung parti berkenaan, seramai 1,500 perwakilan hadir dan hanya seorang yang mengeluarkan cadangan itu yang dianggapnya sebagai tidak senonoh.

''Perwakilan itu bercakap terlalu emosi dan apabila emosi itu diluahkan, ia tidak lagi mengambil kira soal sensitiviti dan akibatnya boleh menggugat perpaduan kaum," katanya.

Dalam pada itu, Persatuan Melayu Pulau Pinang (Pemenang) menggesa Presiden MIC, Datuk Seri S. Samy Vellu bertemu dengan Dr. Mahathir dan memohon maaf dengan segera sebelum isu menghina bekas Perdana Menteri itu menjadi semakin serius.

Persatuan itu turut mencadangkan MIC dan BN menggantung atau memecat perwakilan terbabit kerana mencerca seorang negarawan negara dan memohon maaf secara terbuka sekali gus mampu meredakan perasaan orang Melayu.

Presiden Pemenang, Datuk Seri Yussof Latiff berkata: ''Desakan dan amaran yang tegas ini dibuat kerana kita tidak mahu ada pihak dengan sewenang-wenangnya membuat kenyataan yang mampu mengguris perasaan rakyat negara ini''.

Sementara itu, seorang ahli Pemenang, Zainol Abidin Hashim menyifatkan tindakan perwakilan tersebut sebagai memalukan kerana ia datang daripada sebuah parti komponen BN yang sanggup mencerca mantan Perdana Menteri dalam dewan yang diasaskannya.

''Kita yakin jika Samy Vellu tahu bagaimana perasaan orang Melayu beliau akan buat apa yang kita minta untuk mengelak tindakan balas daripada kita pada masa akan datang,'' tegasnya.

Presiden Gagasan Melayu Perak, Datuk Seri Mohd. Hilmi Ismail berkata, pemimpin MIC perlu bersyukur dan tidak melupakan jasa para pemimpin Melayu terdahulu yang memberi hak kaum minoriti itu tinggal di negara bertuah ini.

''Samy Vellu selalu meminta pertolongan Perdana Menteri berhubung kaum India dan kalau itu tidak diinsafi MIC, kita amat kesal sekali. Kenapa tidak hargai toleransi orang Melayu, malah berani mencaci dan menghina pemimpin Melayu seperti Dr. Mahathir," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd. Hilmi berkata, semua ahli MIC juga perlu mengambil iktibar bahawa kemenangan calon mereka pada pilihan raya sebelum ini termasuk di kawasan Samy Vellu adalah kerana sokongan pengundi Melayu.

Bagaimanapun, katanya, sikap angkuh dan lupa diri yang diamalkan oleh pemimpin MIC itu kerana enggan berundur daripada politik menyebabkan pengundi meluat dan beralih arah.

''Semua rakan seangkatannya sudah meletak jawatan tetapi beliau belum lagi. Jadi, kalau benar Samy Vellu seorang pejuang masyarakat India dan Presiden MIC, beliau perlu ambil tindakan tegas terhadap perwakilan berkenaan,'' katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan