Khamis, 3 September 2009

PENDIDIKAN YANG TERJAJAH


Pada 1957, kita bukan merdeka sepenuhnya. Ketua Polis Negara masih lagi dipegang oleh British dan tentera kita masih lagi menurut acuan ketenteraan negara lain.Selain bidang ketenteraan dan keselamatan awam, ekonomi negara masih terikat dengan beberapa kepentingan empayar British. Tanah Melayu adalah antara penyumbang ekonomi terbesar kepada kemakmuran ekonomi Empayar British. Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman terpaksa menelan segala syarat yang dikemukakan British jika mahu mendapatkan kemerdekaan daripada British, khasnya yang membabitkan ekonomi negara. Pendek kata, negara dianggap tidak merdeka sepenuhnya apabila ketenteraan, ekonomi dan lain-lain bidang masih lagi tertakluk dibawah belenggu sistem penjajahan.

Salah satu kaedah meneruskan penjajahan ialah melalui bidang pendidikan. Penjajah mewujudkan dasar pecah dan perintah (divide and rule) melalui pendidikan vernakular bertujuan melebarkan lagi jurang perpecahan antara kaum-kaum di negara ini.

Walaupun British telah meninggalkan negara ini tapi pada hakikatnya pendidikan hari ini turut diwarisi oleh semangat penjajahan tersebut.

Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (China) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Tamil) adalah contoh warisan penjajah.

Tamat segera

Mukhriz Mahathir pernah mencadangkan sebelum ini agar sistem sekolah vernakular ditamatkan segera. Tapi, bagaimanapun mungkin kerana desakan tuntutan politik dan mengambil perhitungan undi, maka pandangan-pandangan semacam ini tidaklah boleh disebarluaskan ke tahap perdebatan yang lebih tinggi.

Sistem vernakular memang amalan pendidikan penjajah British. Anehnya, sistem ini tidak digunakan di negara-negara lain termasuk di Britain sendiri. Malah kebanyakan negara Eropah dan negara-negara lain menggalakkan pendidikan satu aliran sebagai suatu kaedah, guna memupuk perpaduan sekali gus menjalin persefahaman sesama warganegara yang berbilang bangsa.

Mantan Menteri Pelajaran Dato' Abdul Razak Hussein telah menubuhkan Jawatankuasa Pelajaran pada 1956 setelah melihat, bahawa perpaduan antara kaum di Malaysia ini akan berjaya dicapai melalui bidang pendidikan dan sekolah-sekolah.

Maka, lahirlah Penyata Razak 1956 yang secara jelasnya mencadangkan agar ditubuhkan hanya satu jenis sekolah saja yang terbuka kepada para pelajar daripada pelbagai kaum di Malaysia.

Cadangan-cadangan dalam penyata tersebut telah dimaktubkan dalam Ordinan Pelajaran 1957. Tujuan Penyata Razak adalah seperti berikut:-

a. Menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, bahasa perpaduan dan bahasa pengantar di sekolah.

b. Mengeratkan perpaduan antara kaum Melayu, Cina dan India sebagai satu rumpun bangsa di Tanah Melayu.

c. Mengembangkan sistem pendidikan agar jurang perbezaan antara kaum dapat dikurangkan.

d. Menyediakan kemudahan pendidikan yang mencukupi untuk melahirkan masyarakat yang berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

e. Mewujudkan sistem pengurusan pendidikan yang lebih cekap dan berkesan.

f. Mewujudkan masyarakat yang bertoleransi, berdisplin, terlatih, liberal dan progresif.

g. Memenuhi keperluan negara yang merdeka dan memperkembangkan sistem pendidikan.

Bagaimanapun, sistem vernakular tetap wujud dan sekolah satu aliran itu gagal dilaksanakan berikutan beberapa tuntutan tokoh-tokoh pimpinan MCA dan MIC yang tidak senang dengan gagasan untuk mewujudkan sekolah satu aliran itu.

Malah, dikatakan bahawa gara-gara Penyata Razak itulah, maka Dr Lim Chong Eu memilih keluar MCA, lalu menyertai Gerakan kerana tidak bersetuju dengan Penyata Razak itu.

'Satu Malaysia' gagal semai perpaduan?

Setelah 52 tahun merdeka, negara masih menampung segala jenis sekolah jenis aliran kebangsaan, warisan daripada aliran sekolah vernakular ciptaan model penjajah.

Sekolah vernakular sebenarnya, sebuah sekolah untuk bangsa asing. Dan pendidikan yang mahu mengamalkan dasar pecah dan perintah ini banyak menguntungkan British dari segi ekonominya.

Anak-anak Melayu melalui sekolah Melayu dilihat sebagai bangsa yang mestilah meneruskan kegiatan bertani, berhuma dan bertukang. Demikian juga anak-anak Cina dan India, masing-masing diletakkan mengikut pengkelasan ekonomi mereka.

Mana-mana anak Melayu yang terbaik pelajarannya di sekolah Melayu, mereka ini boleh melanjutkan pendidikan di sekolah aliran Inggeris. Ini dilakukan supaya mereka dapat memegang jawatan sebagai kakitangan kerajaan British, kerani serta lain-lain jawatan pentadbiran.

Semua ini dilakukan atas nama ekonomi juga. Kos mengirim orang Inggeris untuk bekerja di Tanah Melayu amat mahal. Jadi menggunakan tenaga tempatan, khasnya anak Melayu akan mengurangkan perbelanjaan tersebut.

Pada zaman ini, cita-cita hendak mewujudkan semula sekolah satu aliran iaitu aliran kebangsaan yang menggunakan bahasa Melayu (Malaysia) menjadi semakin sukar bukan kerana desakan kaum bukan Melayu.

Tetapi, hal ini disebabkan oleh politikus Melayu sendiri yang telah memajukan dasar lebih celaru seperti PPSMI.

Mungkinkah Najib melalui slogan Satu Malaysia, dapat mengembalikan semula semangat dasar pendidikan ayahnya Tun Abdul Razak yang mahu diwujudkan sekolah satu aliran kebangsaan pada masa sekarang?

Mari kita andaikan bahawa kaum bukan Melayu pun bersetuju belajar di sekolah satu aliran yang menjadikan bahasa Melayu Malaysia ini sebagai bahasa pengantarnya terlebih dahulu.

Maka, jika keadaan ini berlaku, adakah PPSMI akan dimansuhkan kalau kaum bukan Melayu mendesak agar PPSMI dimansuhkan di sekolah satu aliran tersebut, lalu pengajaran Sains dan Matematik diajar semula dalam bahasa Melayu Malaysia?

Penjajah melihat pendidikan sebagai alat meneguhkan ekonomi. PPSMI adalah dasar untuk mengukuhkan ekonomi kroni secara tersirat. Dengan juzuk pendidikan negara yang masih celaru, dibelenggu oleh kepentingan ekonomi peribadi dan gagal juga menyemai perpaduan, adakah negara benar-benar telah merdeka?_


2 ulasan:

  1. Nampaknya makin meranalah anak-anak kita tak gitu?

    BalasPadam
  2. Salam Orang Kulim..

    Benar seperti yg dikata itu..

    BalasPadam